gambar ihsan dari Kalam Puncak
Bismillah
Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah
Bagi mahasiswa di Mesir, bulan Jun-Julai merupakan bulan peperiksaan. Bagi pelajar Cairo University pula, ada peristiwa tambahan yang menjadi ingatan kita bersama.
10 Jun (Mesir) atau 11 Jun (Malaysia) tahun 2009 merupakan tarikh pemergian seorang sahabat kita, 'Ammar, pulang ke rahmatullah. Saya sendiri lupa tarikh sebenar kejadian, tetapi diingatkan bila melihat link-link di status YM sahabat, link ke blog arwah, Kalam Puncak yang dikendalikan ibunya, di SINI.
Saya berasa sedikit janggal bila menulis entri ini, kerana saya bukanlah dalam kalangan yang paling rapat dengan arwah Ammar. Kesan pemergiannya tentulah paling dirasai oleh keluarga, seterusnya sahabat terdekat. Di Cairo University ini, sahabat serumah, kemudian sekelas, atau satu batch dengan arwah, Gen6.
Namun, suka saya ungkit kembali 2 tahun genap berlalunya kejadian sedih yang berlaku, pemergian arwah, semoga kita ingat kembali dan mendoakan kesejahteraan arwah Ammar di sana insyaAllah.
Beberapa perkara suka saya kongsikan. Biarpun saya(atau kami) bukanlah sekelas dengan arwah, tetapi sebulan sebelum pemergian beliau ke rahmatullah, beliau ada singgah ke rumah(atau imarah) yang kami diami di Medan Giza. Ramai yang tidak tahu, dan mungkin ada ahli imarah Giza yang terlupa.
Arwah merupakan diantara beberapa orang senior yang kerap singgah ke Giza. Sedangkan ahli batch sendiri pun hanya sekali sahaja singgah ke rumah kami pada tahun itu(waktu open house 'naik rumah') disebabkan jarak rumah yang agak jauh dari penempatan Umat Melayu Medik di Mesir. Tetapi beliau singgah, dan pada waktu itu, berseorangan.
Saya ingat lagi, katanya sambil tersenyum, "Saja nak tengok-tengok adik-adik nak exam...". Jazahullah khairal jaza'.
Ya, waktu itu, baru bermula 'study leave' untuk peperiksaan written. Hari tu, hari Jumaat. Kami layan 'Ammar macam biasa, sebab dah beberapa kali beliau zinggah berziarah ke Giza.
Sebelum arwah pulang ke rumah, macam biasa, 'perangai' saya, suka minta orang tolong doakan.
"Ammar, bagi doa sikit!" kata saya waktu arwah dah keluar dari pintu rumah.
Dan beliau jawab ringkas,
"ربنا يسهّلكم و يسهّلنا أجمعين"
Maksudnya,
"Moga Allah permudahkan kamu, dan permudahkan kita semua"
Itulah ayat terakhir yang kami dengar dari mulut arwah. Lepas tu, tiadalah bersua muka lagi, sehinggalah pada tarikh 11 Jun 2009, di bilik mayat Hospital Zahra (kalau tak silap), kemudian disolatkan di Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah (DMAK).
Allah lebih mengasihi 'Ammar dan merehatkannya dari melakukan dosa.
Semoga 'Ammar ditempatkan di syurga tertinggi, dalam kalangan para syuhada dan solihin, insyaAllah.
Al-Faatihah....
Sedekahkan juga Al-Faatihah kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ahli keluarga kita yang telah meninggal dunia.
Selalu kita membaca Al-Quran, tetapi jarang kita menghayati makna yang Allah tunjukkan kepada kita. Allah berfirman dalam Surah Al-Jumu'ah, ayat 8,
قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Katakanlah, "sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Lau Dia beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".
Barangkali beberapa kali kita melintasi ayat dari Surah Al-Jumu'ah ini, tetapi berapa kali kita perasan 'hint' yang Allah berikan ini? Kematian ini, memang sifatnya begitu. Manusia sering lari daripadanya. Tapi, nak lari ke mana lagi? Takkan boleh sampai bila-bila pun, manusia lari. Al-Quran dah cakap macam tu, lojik akal pun kata macam tu.
Maka, jadilah orang yang bijak, dengan membuat persediaan selangkap-lengkapnya untuk mati yang dikatakan oleh Saydina Umar Al-Khattab RA sebagai "permulaan hidup sebenar".
Sekian dahulu,
Semoga mendapat manfaat, semoga mendapat berkat.
Wassalam
Ziarah Pakcik Zulkifli, Ummu 'Ammar, dan keluarga di Penang
gambar 'kita-kita' saja. (arghh tension dikepit oleh Najib & Faiz, dua-dua dah berpunya. keh3)