Motorku Lesap Di Hening Pagi

Saturday, March 12, 2011 by aiyqosim
Dalam kenangan - Bajaj Pulsar 180 cc

Bimillahirrahmaanirraheem

Alhamdulilahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Sudah menjadi lumrah kalau turun dari imarah, nak ke masjid, atau dari masjid nak naik imarah, akan memandang sekilas ke motor.

Dan pagi tadi, seusai solat Subuh, sempat toleh ke arah motor, "Owh masih wujud lagi. Syukur... syukur...". Parking depan imarah rumah Damak dan Ijut, sebab tidur rumah Ijut berbincang hal penting dengan mereka satu rumah.

Selesai minum pagi barang secawan dua teh susu bersuap keropok ikan jauh dari Kelantan, Faeid punya, naik semula rumah Ijut. Beberapa minit lepas tu, Ihsan Ruslan balik dari jogging, mula-mula rilaks saja. Tapi bila terlihat wajahku, riak wajahnya berubah. Terkejut. "Eh baem, ingatkan dah balik. Motor mana?"

Saya pun sambil tersengih, "Owh, takda kat bawah ke? Mmmm mana dia pergi ek?" Maka kami pun ramai-ramai turun bawah meraikan. "Aah la... motor dah takda... haha"

Sambil garu kepala, berjalan-jalan la pusing beberapa blok di Abu Risy tu, melihat kalau-kalau masih ada kelibat motor biru Bajaj Pulsar 180 cc yang tak sampai 5 bulan tu. Dalam hati kata, "Dah takda rezeki, nak buat macam mana...".

Dipendekkan cerita, jalan punya jalan, Ihsan jumpa motor tu, tersadai tepi jalan nak ke Zenhom. "Alhamdulillah!". Keadaan yang menyedihkan, tengkuknya(kunci leher) patah, dan jugular veinnya(kabel elektrik) putus dipotong. Dah tak bernyawa lagi. Tapi Alhamdulillah, jasadnya masih segak.

Rupa-rupanya, perompak motor tu dah siap kena belasah dah dengan sekawan Arab Mesir di kawasan tu. Mamat Arab tu siap tunjuk video yang dia rakam dengan telefon bimbitnya, kelihatan teruk pencuri tu dibelasah. Pipi(Zygomatic Arch) kirinya pecah, dah mukanya berdarah-darah. hai, terlebih ganas pula Arab nih!

Si pencuri sudah diserahkan kepada pihak tentera di balainya berdekatan Hospital Mounirah, dan semuanya selesai Alhamdulillah. Cuma Arab yang tolong tu kena bayar sejumlah 500 junaih kepada tentera atas prosedur yang saya pun tak faham. Sebab belasah pencuri, hantar kepada tentera, dan motor tu bukan milik mereka. Lebih kurang macam tu lah. maka saya pun dengan sedihnya bayar kembali 500 junaih tersebut kepada mereka sebagai tanda terima kasih. (?)

Rupanya baru sedar kejap tadi, "aku dah kena tipu ngan Arab buat kesekian kalinya..." haih... Takpalah, halal je lah...



Wayar dipotong

"Cincin tunang dah putus", bak kata Hazu

Kunci leher dah patah



Pengajaran

Lepas kejadian, kehidupan seharian diteruskan macam biasa. Makan roti sapu Kaya jenama Yeo's. Saya pun kata kepada Nabil,

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhamu yang manakah yang kamu dustakan?



Perkara pertama yang perlu diambil perhatian adalah, sejauh mana kita bersyukur dengan apa yang kita ADA, sampai kita tak merungut dengan apa yang kita TIADA. Bila nikmat tu ada di tangan kita, tak teringat pun kita nak berzikir. Bila dah tiada, barulah zikir-zikir yang dihafal semua terkeluar. Terlafaz. Kalau jumpa semula, lagi lah! Punya sujud syukur solat sunat zikir munajat bagai. Lepas sehari dua, tiba-tiba dah 'terlupa' semula nikmat tu. itulah norma kita sehari-hari.

Sila bermuhasabah...


Zuhud = Compang-camping?

Perkara kedua, berkaitan sifat zuhud. Bila cakap zuhud, automatiknya terkeluar gambaran seorang yang selekeh berpakaian compang-camping. Miskin dan 'sempoi'. Padahal, jika nak memahami sifat zuhud itu, mudah saja.

Zuhud itu maksudnya, harta terletak hanya di tangannya, bukan di hatinya. Jika harta di tangan, kalau terlepas harta itu, tangannya masih bebas dan bahagia. Tidak menjejaskan si pemiliknya. Tapi jika hartanya di hati, hilang harta tu, tak keruan jadinya. Macam-macam terjadi, panas baran, tak puas hati, risau, tak seang duduk, menyesal, dan sebagainya.

Saya masih tak teruji lagi dengan kehilangan harta yang mahal harganya (macam sahabat-sahabat seperti Penemang, Sayuti, Rahman Nik, Duang, dan yang seangkatan). Syukur, dah hilang motor tu, jumpa semula. Kalau tak jumpa-jumpa, macam mana ye..... Allahu A'lam.



Tawakkal

Pengajaran buat saya, yang hanya bertawakkal dengan kunci leher motor sahaja. Tak cukup tu. Konsep tawakal, adalah setelah kita berusaha sedaya upaya, sehabis baik, menggunakan segala modal yang mungkin, barulah berserah sepenuhnya kepada Allah. itulah tawakkal.

Maka lepas ni, kena beli rantai dengan mangga sekali. Moga lebih selamat dan aman insyaAllah.

Kan Nabi Muhammad SAW berpesan dalam satu Hadith,


Seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW: "Biarkan untaku dan aku bertawakkal?" nabi menjawab: "Ikatlah ia dan bertawakkal lah." Riwayat Ibn Hibban.



Pengajaran Akhir

Pengajaran ni, Ijut yang berikan kepada saya. Terima kasih daun keladi ya. Iaitu, barang yang hilang, jangan dikenang. Tapi, yang hilang dengan kuasa Allah boleh datang kembali. Maka, jangan kecewa amat jika 'terlepas' sekali, mungkin saja 'ia' kembali nanti. Berdoa dan berharaplah kepada Allah, sebab Dialah yang mengatur segalanya. :)



Sekian sahaja, pesanan saya kepada Mat-mat Motor seluruh Kaherah,


"Korang tak rock kalau korang tak rantai motor korang sekali dengan mangga solex!" haha.


Kenal pasti 'kawasan hitam' yang pernah mengorbankan motor sebelum ini. (macam depan imarah madsha. opss)


Terima kasih atas pertolongan sahabat-sahabat, Ihsan Ruslan, Damak, Ijut, Idris, Nabil, Madsha, Faris, Faeid, dan Copuk(ada sekali?). Jazakumullah kheir.


Saya tak serik nak parking motor depan rumah anda lagi. InsyaAllah. :)


Sekian, wassalam~
Posted in Labels: , , , | Comments

Koptik-Muslim Pasca Revolusi & Kami

Tuesday, March 8, 2011 by aiyqosim
Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Bosan menulis tentang demonstrasi dan perkara berkaitan dengannya. Tapi cuma nak maklumkan, demonstrasi di Main Campus Cairo University dah masuk paper. Students sampai ada yang tidur malam dalam kuliah. Terbaru, sistem amnu daulah di Mesir dah dimansuhkan. Reaksi beberapa Arab Mesir semalam, macam seronok je.

Sedikit update berkenaan demo di Cairo University di SINI.

Tak habis demonstrasi di Cairo Universiti, dah timbul satu isu baru pula. Lagi besar daripada isu pelajar. Isu pertembungan Kristian-Muslim di Mesir. Faktor pemulanya berlaku 2 atau 3 hari lepas, di bandar Etfeeh, Giza. Bermula apabila satu keluarga Muslim mendapat tahu seorang ahli keluarganya perempuan ada hubungan sulit dengan seorang lelaki Kristian Koptik. Kemudian, rentetan dari itu, berlaku pergaduhan, sehingga 2 orang Muslim terbunuh. Kemudian, dibakar pula Gereja Al-Syahedayn sebagai balas dendam.


Sumber berita boleh didapati dari Masr El Youm di SINI juga di SINI




Golongan Koptik berkawal sementara Muslimin solat


Teringat semasa minggu revolusi tempoh hari, golongan Kristian Koptik bekerjasama dengan baik dengan Muslimin dalam menjatuhkan Mubarak. Ketika waktu solat, umat Islam solat dan puak Kristian Koptik membuat benteng manusia dan berkawal dari ancaman polis Mesir. Namun, timbul pula isu baru beberapa hari ni.

Maka, semalam, ada protest besar-besaran di beberapa jalan utama di Cairo menyebabkan traffic jam yang amat dahsyat. Antara tempat mereka berkumpul adalah di kawasan Qal'ah Salahudden Al-Ayyubi dekat Sayeda Aisyah. 2 orang yang sempat merasa tersangkut dalam jam ni adalah, Mentol dan Bro Warouq. Memang dahsyat sampai kereta di Solah Salem dari kawasan ARMA ke Sayeda Aisyah tu tak bergerak langsung! (tu yang Bro Warouq terpaksa meng'kandas'kan dirinya di ARMA malam tu walaupun tak redho. Tapi ok gak, dapat tengok Arsenal kena 'titik' ngan Barca. hehe :)



Beliau adalah Nazrul Syazwan aka Warouq




Fenomena Menarik

Satu fenomena yang menarik ingin saya kongsikan. Fenomena yang sangat jarang kita lihat di Malaysia. Gejala yang biasa dalam masyarakat Mesir semenjak sekian lama, bukan sebab pasca revolusi. Tapi pasca revolusi, semangat ni makin ketara. Semangat ni masih kurang dalam masyarakat kita di Malaysia.

Semangat kerjasama dan bertolong bantu. Dalam keadaan, anda tak mengenali orang lain, tak pernah berjumpa, bukan kaum keluarga anda. Tapi dalam keadaan kecemasan, mereka boleh 'organize' dan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Saya sangat terkesan dengan testimoni dari sahabat bernama Nurhelmi a.k.a. Mentol. Mentol menyaksikan sendiri, macam mana dalam perjalanan ke Sayeda Zainab, jalan sangat sesak sampai tak bergerak. Apa yang driver-driver ni buat? Ramai yang keluar dari kereta. Yang berdekatan dengan bahu jalan, 'park' kereta masing-masing dan keluar untuk tolong pemandu-pemandu lain.


Beliau adalah Nurhelmi aka Mentol




Ada yang buka penghadang jalan di depan Hadiqah Al-Azhar untuk bagi laluan kereta buat 'U' Turn.

Ada yang cari batu, dan susun di sepanjang divider jalan untuk bagi laluan kereta nak 'U' Turn.

Ada yang jaga di pangkal jalan berdekatan dengan Darul Ifta' untuk arahkan kereta yang nak masuk jalan tu, untuk 'deviate' ikut Jalan Medan Hussein.

Polis memang takda. Tapi selagi ada masyarakat yang prihatin dan boleh memimpin dan bekerjasama, semuanya akan berjalan lancar, biar dalam keadaan apa sekalipun.

Saya bayangkan, mereka tak kenal sesama mereka pun, tapi demi melancarkan keadaan traffic dan keselesaan dan kemudahan semua orang, mereka boleh 'organize'.



Fenomena

Fenomena masyarakat kita di Malaysia, kena ada 'Program Gotong-royong Anjuran Masjid Kariah' dulu baru semua orang nak berjumpa dan bekerjasama.

Terkadang(atau selalu?), hatta sesama orang yang saling kenal-mengenali pun, tak boleh nak bekerjasama dalam perkara yang MEREKA SEPAKATI! Belum lagi perkara yang tidak disepakati. Semua nak bawa haluan masing-masing. 'Kepala' masing-masing.


Memandang dari skop kita sebagai Muslim pula, kita telah dikurniakan panduan serba lengkap. Kerja kita, hanya 'turut perintah' saja. Bukan kah ada disebut dalam Al-Quran,


"Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara..."

Surah Al-Hujuraat, ayat 10


Tapi kenapa kita tak boleh bekerjasama dan bersepakat?


Bukan kah Rasulullah berpesan,


وقال صلى الله عليه وسلم: "المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا وشبك بين أصابعه" متفق عليه.

Rasulullah SAW bersabda, "Orang Mukmin dengan mukmin yang lain umpama bangunan, ia saling memperkuat satu sama lain". dan Nabi SAW menyilangkan jejari baginda.



Itulah yang dimaksudkan dengan Ukhuwwah Islamiyyah secara ringas.




Perumpamaan ukhuwwah sesama Muslim



Dengan 'geng kita' kita senyum, dengan 'geng dia' pun kita senyum. Dengan 'geng kita' boleh berborak mesra, tapi kenapa dengan 'geng dia' kita borak acuh ta acuh saja? Muka pun tenag serius semacam saja. Dengan 'geng kita' bergelak tawa berjaulah, dengan 'geng dia' dijemput pun, "tak pa lah! lain kali ja..."

Bagaimana masih boleh terjadi gejala 'tikam belakang', tajassus, dan sebagainya? Sedangkan kita duduk dalam komuniti Muslim.


Tidak memaksudkan sesiapa secara spesifik, tapi sebagai muhasabah kepada diri saya sendiri dan juga sahabat yang lain juga.

Bukan kah kita nak semua orang masuk syurga sama-sama? :)



Maka...

Maka, perbaikilah hubungan sesama kita. Tingkatkan semangat kerjasama dan kejiranan sesama kita. InsyaALlah kita akan membentuk dunia yang aman sejahtera.



Yang penting.... "kerjasama!"




Saya taknak buat ayat yang berbentuk ke'akhowatan', tapi takpa, saya cakap je la. Sesungguhnya, saya mendambakan kemesraan dan semangat persaudaraan di zaman Rasulullah SAW. Alangkah baiknya kalau kitalah golongan yang mengembalikan 'semangat' itu. Kan kita nak ke syurga sama-sama? =)

Dan saya pasti, anda semua juga 'mendambakan' perkara yang sama, tak gitu?



............................................................................................



Ok, saya rasa cukup dulu setakat tu. Hari ni, saya rasa seronok. Mungkin sebab sahabat-sahabat JPA nak sampai Cairo tengahari ni. Dah rindu dah kot(ceeewah). Semoga semuanya berjalan lancar. Ye lah, seronok, sebab ahli-ahli rumah dah nak sampai, boleh lah kemas-kemas rumah yang dah terbengkalai sebulan tuh. Ke cane? ;)



Gambar hiasan : kenangan kelas MEG 5 di INTEC, persediaan sebelum fly ke Mesir



Sekian saja, semoga kita diampunkan dari dosa yang kita lakukan, dan saya mohon maaf jika ada mengguris hati sesiapa saja. Sesungguhnya, saya telah mengguris hati saya terlebih dulu sebelum saya tulis entri ini...


Allahu A'lam,


Wassalam
Posted in Labels: , , | Comments

Sekitar Kuliah : ...Kesian Dr. Nadia...

Monday, March 7, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahin wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah

Assalamu'alaykum wbt.


Hari ni saya ke kuliah, Kasr el-Ainy untuk beberapa sebab. Pertamanya, untuk tengok keadaan student Arab Mesir buat demonstrasi. Apa yang dituntut mereka, berapa ramai yang ikut serta, dan sebagainya. Kedua, saya nak jumpa Head Of Department yang mana sempat, untuk confirm kan status dan jadual kuliah, dan sebagainya. Ketiga, nak ziarah tempat pelancongan terbaru di Cairo, Medan Tahrir.



Sekitar Kuliah

Keadaan sekitar kuliah macam biasa. Cuma tiada lagi polis jaga depan pintu besar. Digantikan dengan brader-brader berbaju kemeja biru bertali leher biru. Tahap kebersihan(atau kekotoran?) masih sama. Tiada bangunan terbakar atau rosak.

Gerai SONDOS masih seperti dulu, bezanya, sekarang Krib dah ada Combo! Beli Krib, dapat air Pepsi sekali. (Ada kemajuan sikit..)

Sebelum ni saya ada terjumpa satu gambar dalam facebook, orang Mesir beratur nak naik tremco(minibus). BERATUR! Entah mana lah dia ambil gambar tu, sebab keadaan macam biasa je, tu semua konspirasi je :)



Sondos masih selamat insyaAllah...


Status Kuliah Dan Jadual

Sempat saya dengan Mat Syamirul berjumpa dengan Head of Department Microbiology, Dr. Samia. Dia maklumkan, bahawa di peringkat ketua-ketua department, memang dah ada meeting dengan Dr. Nadia dan dibuat penyelarasan. Tapi tu untuk student kelas MOU la.

Secara keseluruhannya, sesi akademik Cairo University telah dianjak sebanyak 2 minggu. Maka, segala jadual asal, akan dianjak ke belakang sebanyak 2 minggu. Cumanya, pelajar Malaysia, bukan cuti 2 minggu saja, tapi 3 minggu. Maka, solusi bagi masalah ini adalah, setiap minggu, akan ada kelas tambahan atau extra hours untuk setiap subjek yang dipelajari. Maka, at the end, silibus tetap akan habis dalam masa yang sama dengan pelajar Arab.

Kuliah untuk student Malaysia Cairo University akan bermula pada minggu depan. Kalau jadual asal kelas bermula hari Sabtu, maknanya kelas akan bermula pada 12 Mac. Kalau hari Ahad, 13 Mac, begitulah seterusnya. Maka, automatiknya, bebudak preklinikal, should be no problem lah. Kuliah macam biasa je.

Cuma mungkin masalah sikit kepada pelajar clinical MOU. Sebab kita semua dalam round. Tapi untuk tahun 4, insyaALlah takda masalah, department ENT dah buat jadual baru untuk kita. Sekarang, kuliah kita 4 HARI SEMINGGU! Untuk compensate kelewatan seminggu kita datang kelas. so,... puas hati??? :) Jadual seperti dalam gambar.

Untuk tahun 5 pula, saya masih musykil, tak tahu cerita. Sebab exam Surgery korang patutnya dah dekat kan? Maybe boleh tanya Yusri lah ye.

Untuk student G2G pula, saya telefon Atase Akademik Education malaysia Mesir, Ustaz Khairi Jalaludin pagi tadi. Macam mana dengan pelajar G2G sebab kalau nak ikutkan, kuliah Arab dah mula dah minggu ni, sedangkan pelajar Malaysia pulang minggu depan. Dia tak sure sangat, tapi katanya, kalau yang berkaitan tertinggal silibus dan exam(especially pelajar clinical), EM boleh tolong buat surat, minta diambil sekali dengan pelajar MOU. Katanya lah... insyaALlah kheir kot...



Jadual kelas ENT untuk 4th Year Cairo University



Sekitar Demonstrasi Di Kuliah

Saya tak sangka semangar revolusi Mesir boleh merebak sampai ke kuliah perubatan Kasr el-Ainy, Cairo University. Sekumpulan Arab Mesir dah buat demo semalam(Ahad) dan buat lagi hari ni. Demo dibuat dengan tujuan utamanya adalah menuntut Dr. Nadia Al-Feky, Vice Dean kuliah untuk letak jawatan sebagai Vice Dean. Rupanya, dalam senyap-senyap, bebudak Arab ramai yang tak puas hati dengan pentadbiran University. Tapi, punca utama didesak Dr. Nadia letak jawatan adalah, sebab abangnya, Anas Al-Feky adalah bekas menteri dalam kabinet Mubarak dulu. Patut laaa...

Cumanya, dalam kesempatan buat demo, bebudak Arab tu ada buat tuntutan lain sekali. Ada beberapa perkara yang mereka tak puas hati. Dan yang paling menarik hati saya adalah, MEREKA TAK PUAS HATI DENGAN 'KE-TIDAK-SAMA-RATA-AN HAK' ANTARA STUDENT MESIR DAN STUDENT MALAYSIA! Terkejut juga dengar perkara ni diutarakan dalam demo. memang jelas dalam bait-bait laungan yang diorang jeritkan, berbunyi,


أنا مصري يا عزيزي , حقّ أكثر من ماليزي

"Aku orang Mesir, Hak aku (sepatutnya) lebih daripada orang Malaysia"


Saya berada di tempat kejadian dengan Mat Syamirul, lepas dengar rangkap pasal Malaysia tu, kami dengan selamba je ambil gambar lagi depan-depan diorang. Hehe.

Tak tahu lah nak kata macam mana. Tapi rasanya mereka ni tak kaji dulu dengan mendalam senarai tuntutan mereka. Kalau di Malaysia, ada pihak yang tak puas hati, biasanya didahulukan dengan memorandum. Dalam memorandum tu lah ada semuanya. Ada segala tuntutan. Ada buat kajian dulu, patutkah sesuatu perkara tu dituntut. Apa cadangan penambah baikan. Apa yang kurang, dan apa yang patut ditambah. Lengkap dan detail. tapi mereka ni hanya melaung-laungkan saja. Mendesak secara 'desak'.

Kalau nak ikutkan, apalah yang tak sama ratanya antara pelajar Malaysia dengan pelajar Arab? Kelas kami sempit dalam department, kelas diorang besar dan luas dalam dewan kuliah utama(mudarragat). Dewan kuliah diorang dah siap renovate, besar, baru, selesa, ada mikrofon, siap ada aircond lagi. Dewan kuliah kita kecil, sempit, bawah tanah(tahun 1 & 2), takda mikrofon, takda aircond.

Jadual belajar budak Arab efisyen, satu subjek satu jam. Lecture pagi, otak fresh, praktikal petang. Jadual kami, satu subjek ada sampai sekali harung 3 jam straight! Praktikal buat pagi, lecture buat petang, iaitu waktu paling sesuai untuk tidur!

Yuran kami mahal BERPULUH KALI GANDA DARI ARAB sebab kami kelas MOU.

Haaa, apa lagi yang tak sama rata nya??? Allahu A'lam... Mungkin kalau saya berada di tempat mereka pun, saya akan rasa tak puas hati kot.. Iya lah, cuba bayangkan, kita ni(orang Malaysia) di mesir, umpama Bangla di Malaysia. :) Saya pon kadang-kadang bengang juga dengan Bangla-bangla di bangi tu, kalau berjalan sesama mereka, kecoh, dah la ramai! hehe. Macam tu lah kot perumpamaannya...

Maka, masing-masing kena belajar bersyukur dengan apa yang ada... Jemput ke LINK ini untuk belajar bersyukur sikit...













Dialog Dengan Dr. Samia

Waktu berjumpa Dr. Samia, sempat saya bertanya, apa pandangan beliau terhadap demo yang budak Arab buat terhadap Dr. Nadia?

Pertamanya, dia kata, dia tak suka demonstrasi macam tu. Mungkin maksud dia, demonstrasi 'kampungan' macam tu. Kemudia, dia kata Dr. Nadia ni seorang yang sensitif. Dia akan buat apa yang baik untuk semua orang. Kalau memang ramai yang tak suka dia, kemungkinan besar dia akan turun juga, sebab memikirkan kebaikan untuk semua. Dr. Samia juga kata, Dr. Nadia sekarang tengah sedih. Hmm... Sedih la pula dengar dia cakap macam tu. :)

Tapi takpa katanya, sebab biar siapa pun yang ambil tempat Vice Dean tu, sistem University tetap jalan macam biasa. takda kesan buruk ke apa ke. So, doakanlah yang terbaik untuk kita semua ya...


Sila ke link youtube ini untuk video demo hari Ahad





Tahrir square. background Mugamma'. Ada rumours kata mugamma' terbakar tempoh hari. Tapi sebenarnye yang terbakar, bangunan lain. mugamma' masih sihat wal afiat. InsyaAllah makcik kat atas tu masih sihat dengan syai nya. :)


Mat Syamirul di depan Hardee's Tahrir yang dah tersadai... so, kena cari alternatif lain lah ye



Rasanya sekadar tu dulu. Semoga bermanfaat insyaAllah...


Jumpa nanti di Mesir ya~


Wassalam

Posted in Labels: , , , | Comments

Heroism

Friday, March 4, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah...


Saya cuba berehat sebentar dari menulis berkaitan Ops Piramid (OP 004). Beralih angin, mengambil mood baru.

Saya pernah menyentuh sedikit sebanyak dalam satu entri berkaitan Sultan Muhammad al-Fateh, pembuka Konstantinopel yang membebaskan kota tersebut dari pemerintahan Byzantium. Semangat yang dipegang oleh sebaik-baik pasukan tentera dan sebaik-baik raja itu adalah berdasarkan satu Hadith Nabi SAW, yang berbunyi, "Konstantinopel akan jatuh di tangan tentera Islam, rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera".

Rentetan dari itu, terfikir saya satu perkara yang sering dilakukan oleh ummat Islam zaman kini, sering diamalkan oleh kita, oleh saya, mungkin oleh anda juga. Satu sindrom yang dinamakan, 'Sindrom Menyembah Hero' atau lagi sedap didengar sebagai Heroism. (Ada khilaf dengan penggunaan istilah HEROISM. Tapi saya letak je lah istilah HEROISM sebab mudah sikit.. boleh usha di sini atau di sini atau di sini... Allahu A'lam)

Kita sering menguar-uarkan nama-nama tokoh-tokoh Islam yang cemerlang dalam pelbagai bidang serta berjaya mengubah dunia. Kita sering bercita-cita nak menjadi seperti mereka. Kita sering menyebut-nyebut nama mereka. Ramai dari kalangan kita tahu nama-nama tokoh ini. Kehebatan Sallahudin Al-Ayyubi dalam Perang Salib. Muhammad Bin Murad al-Fateh sebaik-baik raja yang membuka kota Istanbul.

Kita sering berkata, "Aku nak jadi seperti Ibnu Sina". "Idolaku Az-Zahrawi". "Aku bercita-cita nak jadi macam Ibnu Rusyd". "Aku nak jadi hebat macam....sekian...sekian...", dan sebagainya.



Hikmah Hadith Nabi

Sewaktu menggali parit sebagai persediaan Perang Khandak, Rasulullah bersabda kepada para sabahat baginda dalam satu Hadith yang cukup mahsyur,


"Kostantinopel akan jatuh di tangan tentera Islam, rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera".


Hadith ini telah menjadi dorongan dan motivasi yang luar biasa kepada para sahabat RA, Tabi'een, Tabi' Tabi'een, bahkan Ummat Islam selepas 3 kurun yang terbaik selepas Rasulullah SAW. Motivasi untuk terus maju dan melebarkan pengaruh Islam ke Kostantinopel. Namun, ada satu hikmah dalam Hadith ini yang perlu diambil berat.

Hikmah Rasulullah SAW tidak menyebut nama siapakah sebaik-baik raja tersebut. Mengapa tidak disebut sahaja nama Sultan Muhammad al-Fateh? Kerana Nabi SAW tidak mahu ummatnya ditimpa penyakit menyembah hero. Ini sikap memuja-muja kehadiran pemimpin besar yang membebaskan Kostantinopel tanpa membuat apa-apa sumbangan konkrit dan konstruktif ke arah merealisasikan Hadith itu.



Tapi...

Tapi, takkan kita tak boleh mengagumi tokoh-tokoh Islam? Habis tu, nak kagum dengan tokoh Barat? Tokoh kafir?

Bukan begitu... Kuncinya, jangan kita melihat secara tersurat sahaja apa yang disebut sejarah. Kehebatan, kegeniusan, sifat kreatif dan pemikiran. Usah kita mudah tenggelam dalam ketakjuban pembukaan kota Kostantinopel. Dengan terciptanya meriam terbesar pertama di dunia. Dengan berlayarnya 70 buah kapal di atas bukit-bukau. Kita hanya mampu terkesima dengan Sultan Muhammad al-Fateh yang tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak akil baligh.

Tak lain tak bukan, Sultan Muhammad al-Fateh hanyalah ikon kepada kekuatan institusi tarbiyah Uthmaniah. Beliau adalah cerminan kekuatan sistem pendidikan Islam kerajaan Uthmaniah. Dengan para ulama' dari segala bidang mendampingi beliau, menjadi penasihat politik, pendidik rohani, guru syariah, guru bahasa, guru tektikal perang, geografi, matematik, dan segala aspek kehidupan. Kita lupa atau buat-buat tak perasan bahawa kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh adalah biasan sistem pendidikan yang seimbang antara kurikulum dunia dan akhirat.

Sebelum zaman Uthmaniah, satu tokoh Islam yang hebat, Salahuddin Al-Ayyubi telah berjaya menakluk Jurusalem. Ramai yang tidak tahu, bahawa kejayaan tersebut adalah manifestasi strategi yang dimulakan 3 generasi sebelum beliau, iaitu pada zaman Imam Al-Ghazali. Hasil tarbiyah pemikiran Al-Ghazali menghasilkan manusia seperti Salahuddin Al-Ayyubi, 3 generasi selepas Imam Ghazali!

Ada yang menjadikan Ibnu Sina sebagai tokoh pujaannya. Tetapi, tidak mengenali cara hidup beliau. Tidak tahu pemikiran dan cara beliau menuntut ilmu. Sebagai contoh, tahukah kita, setiap kali Ibnu Sina tidak memahami apa yang dipelajarinya, beliau akan sujud kepada Allah dan berdoa, "Ya mu'allima Ibrahim, 'allimna..."?

Ada pula yang mengambil Ibn Rusyd sebagai idola. Tetapi tahukah kita, beliau hidup dan mati dalam keadaan miskin. Bahkan namanya tidak terkenal dalam masa hidupnya hasil dari sifat zuhud dan tawadhuknya. Kitab-kitab dan hasil tulisannya akhirnya dibeli oleh pemerintah pada zaman 15 tahun selepas kematiannya, ketika itu barulah isterinya menjadi kaya dengan hasil jualan tulisan Ibn Rusyd.



Kesimpulan

Apa yang cuba saya timbulkan di sini adalah, sindrom Heroism tidak memberi faedah kepada generasi baru Islam, melainkan kita mengkaji apa yang wujud di sebalik kehebatan dan ketokohan 'hero-hero' Islam tersebut. Kemudian, intipati daripada kehebatan itu perlu diterapkan pula dalam diri kita.


Buat akhirnya, sekali lagi saya nak berpesan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat semua, gunakanlah masa kosong dengan menuntut ilmu dan aktiviti-aktiviti berfaedah. Bagi sahabat yang masih berada di Malaysia menunggu giliran pulang semula ke Mesir, di hujung minggu, gunakanlah masa itu bersama keluarga sementara ada masa. Di hari kerja, isikan pula dengan ilmu dan amal kebajikan, aktiviti berfaedah, riadah, dan sebagainya.


Suka saya nak promosi satu buku yang sangat bagus. Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh, tulisan Muhammad Syaari Abdul Rahman, terbitan PTS. Dinasihatkan beli dan baca. =)






Hagia Sophia : satu-satunya gereja yang ditukarkan kepada masjid setibanya Muhammad al-Fateh ke kota Istanbul



Makam Abu Ayyub Al-Ansori RA, sahabat Nabi SAW yang cuba menakluk Istanbul, tetapi gugur syahid dan dimakamkan di kubu Istanbul seperti yang diwasiatnya


Gambar hiasan : Edrogan =)


Sekian dahulu, Jazakumullah kheir kerana sudi membaca,


Wassalam.


p/s : Skuad renang darurat ARMA baru ditubuhkan. Semoga sesi renang 2 jam sehari ni istiqomah. Setakat ni dah 3 hari berturut-turut dah. Ke arah membina doktor sihat badan luar dan dalam. InsyaAllah kheir... =)
Posted in Labels: , | Comments

OP 003 : Oh Anak Dato' Rupanya

Sunday, February 27, 2011 by aiyqosim
Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Tiba-tiba rasa nak menulis. Alhamdulillah baru saja sampai Dubai sementara menunggu flight ke Cairo esok pagi. Menulis dari Golden Square Hotel Appartment, Dubai. Suasana sekitar macam di Jalan T.A.R KL. Serabut dengan orang lalu lalang lintas jalan. Tapi, jarang sangat jumpa orang Arab, banyaknya Pakistan, Bangla dan Filipin. Itulah Dubai... :)


Ok, saya rasa nak teruskan cerita Ops Piramid Siri 003. Pendek saja insyaALlah...


Penerbangan pertama dari DMAK, seramai 76 orang telah terpilih. Evakuasi dari Kaherah ke Jeddah adalah mengikut prioriti yang telah ditetapkan pihak Kedutaan. Prioriti utama adalah, wanita mengandung, orang sakit, yang ada anak, dan yang berkeluarga. Kemudian barulah wanita, kemudian barulah lelaki.


76 orang dari DMAK, siapa tahu, asalnya jumlah diperuntukkan untuk penerbangan pertama dari DMAK bukanlah 76, tetapi lebih dari tu. 80 rasanya. Kemudian, minit-minit akhir ditolak jadi 78. Kemudian akhirnya jadi 76 sahaja. Katanya, "Arahan kita terima dari pihak atasan...".


Kemudian, di pagi hari penerbangan pertama nak bertolak tu, tak semena-mena ada seorang yang saya cukup kenal, ada bersama-sama kumpulan penerbangan pertama. Kalau ikutkan, dia ni tiada prioriti. Nama dia pun tiada dalam senarai yang kami dah susun. Ok lah, takpa, saya layan saja.


Selidik punya selidik, baru saya dapat tahu, dia ni anak saudara seorang Dato' tu... Laaaa patutla dari bilangan 79 orang kurang sampai jadi 76! Bukan kuotanya yang kurang, tapi dah ditolak dengan anak saudara Dato' tu. Ceh! Dah la baru saja dapat Dato'! Haih~ Itu baru anak saudara, kalau anak kandung dia.... tak tahu lah, dapat jet peribadi kot...


Kemudian di Jeddah pula, ada lagi hal sedemikian berlaku. Tapi skala lebih besar lah. Sebab semua jenis orang berkumpul di Jeddah. Segala anak Dato' Nenek, semua ada. Maka golongan-golongan ini tak semena-mena 'TER'masuk dalam golongan prioriti utama. Tahniah kepada mereka! Dan perkara ini berlaku dalam keadaan DARURAT. Hatta, dalam keadaan beberapa penerbangan dah berlepas ke Malaysia, masih ada lagi ibu yang sarat mengandung masih menunggu giliran berlepas dari Jeddah. hmmmm.... Dalam hati kata, "Mungkin, anak-anak Orang Besar-besar yang balik awal ni, semuanya sakit tenat kot...", sebagai husnuzzon. :)


..........................................................................................


Dari dulu sampai sekarang, selalu saya dengar cerita tentang 'pintas-memintas'. Cerita tentang orang guna 'kabel besar' untuk beri laluan VIP kepada orang tertentu. Cerita tentang 'Orang Besar-besar' atau 'Kroni' dapat kedudukan tertentu walaupun tak cukup syarat.


Saya pasti, anda semua pun pernah dengar kan? Atau anda pernah nampak depan mata? Atau lagi teruk lagi, anda pernah lakukan kegiatan sedemikian? Na'udzubillaah...


Sejak jadi Ketua Operasi Darurat Cawangan DMAK tempoh hari, perkara yang sering saya dengar di telinga saya sahaja, dah terjadi depan mata kepala saya. Baru saya tahu, "Owh, benda ni memang betul-betul berlaku....". Cara bercakap macam orang tak pernah baca surat khabar. Hehe. Tapi itulah hakikatnya, jujurnya, saya memang tak pernah 100% percaya kegiatan 'ambil kesempatan' atau 'salah guna kuasa' atau 'kronism' ni benar-benar berleluasa. Tapi, bila dah nampak depan mata sendiri, dalam keadaan darurat pula tu, maka tak ragu lagi, dalam keadaan tak darurat pun, gejala ni saaangatlah common!


Maka, pesanan ringkas dari saya, kepada diri saya sendiri dan juga kepada anda semua, jadilah insan yang merendah diri dan adil. Semoga kita tidak mengambil kesempatan dengan kuasa yang kita ada, atau jawatan yang kita miliki, atau harta yang kita ada, untuk mengambil kesempatan pada sesuatu yang bukan hak kita. Semua itu adalah amanah dari Allah kepada kita, sama ada kita pelihara amanah tersebut, atau kita khianatinya.


..........................................................................................


Dalam kesempatan ini juga, saya nak mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengucap dan mendoakan kesejahteraan saya di hari lahir saya yang ke-**. Semoga dengan bertambahnya umur ini, bertambah juga iman dan amalan, bertambah juga keberkatan dalam segala aspek kehidupan saya insyaALlah. Jazakumullah khair...


Semoga Allah membalas budi ibu saya yang sudi mengandungkan saya walau dalam kepenatan buat Haji berulang alik dari Sofa ke Marwa membawa saya dalam rahimnya. =) Juga mengajar mendidik dan membesarkan saya dalam Islam. Allah adalah sebaik-baik Pemberi balasan.





Tak nak getting personal, tapi saya kira, hadiah hari lahir yang termahal saya dapat adalah pada tahun ini, dari Kerajaan Negeri Selangor, TIKET BALIK MESIR! Hehehe. Syukran Kerajaan Negeri Selangor.


Ok, sekian sahaja. next, Gulf Air ke Cairo insyaALlah


Wassalam
Posted in Labels: , , | Comments

OP 002 : Tekanan Oh Tekanan

Saturday, February 26, 2011 by aiyqosim


Bislmillahirrahmaanirraheem...

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Bercakap tentang darurat pada minggu pertama dan kedua Revolusi Menjatuhkan Hosni Mubarak tempoh hari, terlalu banyak kejadian yang memberi kesan kepada saya secara personal, dan juga kepada sahabat-sahabat yang lain. Tetapi, saya begitu terkesan dengan satu peristiwa ni. Sekadar untuk diambil pengajaran, nama yang diletak bukanlah nama sebenar. Siapa yang makan cili, dialah terasa pedasnya, melainkan dia ada masalah pada deria rasanya.


Kisah Sahabat Bukan Dari Kaherah

Ada seorang sahabat ni, beliau bukanlah dari Kaherah. Kebetulan sewaktu berlakunya darurat, dan persediaan untuk proses evakuasi, beliau berada di sekitar Kaherah. Dan dipusatkan di Dewan malaysia Abbasiyyah kaherah(DMAK). Sepanjang bertemu, beliau mampu lagi tersenyum. Nampak gaya memang macam golongan yang agak berada. Beliau bersama group beliau.

Waktu mula-mula diumumkan nama-nama yang disusun dalam kumpulan penerbangan mana, beliau meminta macam-macam. Nak juga duduk bersama dalam group beliau, tak nak berpisah. Ya lah, itu hak mereka, untuk minta apa yang mereka nak kepada AJK Operasi, tetapi, iya lah, dalam kekalutan pengurusan, dengan tiada arahan yang khusus dan jelas dari pihak atasan(bukan En. Harun, tapi pihak yang lagi atas), dan kurangnya pengalaman AJK Ops menguruskan penyusunan orang dalam penerbangan dalam keadaan darurat lagi, tidak semua 'demand' orang mampu kita tunaikan dengan senang lenang.

Tapi tak mengapa, kita turuti saja. Kemudian di Cairo Airport, ketika saya menunggu flight Charlie pertama untuk dipanggil, tiba-tiba saya dapat satu panggilan. Dari Karim(bukan nama sebenar).

"Apasal lah Karim call aku tiba-tiba ni?" getus hatiku.

Saya angkat, dan kedengaran, "Hello! Ni Pengerusi DMAK ke? Kau pengerusi DMAK kan? Aku nak tanya, kenapa kau buang nama aku dari flight ***? Pegawai tu cakap, kau kata, group kami tak masuk dalam flight *** tu, so, pegawai tu buang nama kitorang! Sekarang ni, kitorang tak dapat masuk flight!". Garang nadanya. Buat saya terkesima sebentar.


Pertamanya, SAYA BUKAN PENGERUSI DMAK. Keduanya, saya tak tahu apa yang Karim ni cakap! Tapi saya dapat 'clue'. Disebabkan Karim bersama groupnya, maka nama mereka dimasukkan dalam penerbangan untuk 'Yang Berkeluarga Atau Dah Berumah Tangga' iaitu prioriti utama.

Kemudian, saya nak pastikan keadaan sebenar, saya cari pegawai yang dimaksudkan, dan tanya sendiri. Botak kepalanya.

"Bang, batul ke, camni...camni....?".

Pegawai botak tu pon merah mukanya tiba-tiba dan panggil Karim. "Bila pula aku kata nama korang dah kena buang! Ko memandai... bla.. bla... bla..".

Habis bertekak. Ada 'miscommunication' rupanya. Ok, dipendekkan cerita, Karim pergi dari tempat itu, dan pegawai botak tu masih panas hatinya. Keadaan tegang seketika. Saya yang berada di tengah-tengah, berasa serba salah, tetapi buat gaya macam mengiyakan pegawai yang botak tu. "Selamat sikit", getus hati ini.


Maka saya dan pegawai botak tu pergi ke kawasan edaran Boarding Pass untuk semak semula nama group Karim. Tak semena-mena, dah ada dah boarding pass di tangan mereka.

"Dah dapat dah. Baru je dapat..." kata Karim sambil sengih tapi muka masih tegang.

Maka mereka pun, terus masuk ke pintu Airport bawa beg masing-masing. Tiada senyum, tiada salam, matanya fokus ke pintu Airport. Saya senyum je la, sambil kata, "Ok, selamat semua! Jalan elok-elok...". Pegawai botak tu muka merah padam dah. Memang panas!


Alhamdulillah, dapat juga boarding pass. "Setel masalah!". Tiba-tiba, dapat satu panggilan telefon. Dari Karim. Hati saya dah sedia dah nak ucap selamat jalan dengan ceria, dan menganggarkan Karim telefon sebab nak ucap terima kasih dan katakan semuanya ok. Tapi, angkat telefon saja, dengar suaranya,

"Ni pengerusi DMAK ke? Bukan eh? Saya nak tahu, siapa pengerusi?".

Saya buat-buat tanya dengan baik,"Mmm, macam mana? Semua ok ke? Dah dapat masuk flight dah?".

Karim terus potong, "Siapa yang uruskan kitorang tadi? Yang pakai kopiah tu. Ada janggut,(taknak describe lebih lagi, nanti kantoi siapa orangnya..hehe..). Saya nak nombor dia. Macam mana buat kerja ni? TAK PROFESIONAL LANGSUNG!!!" terus letak telefon.



gambar hiasan : proses evakuasi Hari 1, 'dipaksa tidur dalam surau'. memang tertekan


Menyejukkan Hati

Pergh! Punyalah panas hati ni. Bayangkan. "TAK PROFESIONAL LANGSUNG!!!" katanya. Dalam hati saya kata, "Macam ni kau Karim... hai, ikut suka hati kau laaa...".


Terus saya duduk kejap, sejukkan hati. Borak-borak sikit, luahkan perasaan kat Abang Harun Safrin. Macam biasalah, dalam tempoh darurat ni, banyak dah perasaan ni diluahkan. Dah la 'roommate' di Jeddah. Abang Harun pon banyak gak pengalaman dengan orang-orang macam ni. Maka saya pon buat satu kesimpulan. Ramai orang tahukesimpulan ni, hatta saya pon tahu. Tapi sebelum ni, teori semata-mata. Bila berlaku darurat ni, barulah kesimpulan tu terbukti depan mata.



Tekanan akan menonjolkan sifat sebenar kita!



Dengan kata lainnya, tekanan menjadikan kita 'natural'. Bahasa pertuturan kita, 'habit' kita, gaya kita, perbuatan kita, cara kita bergaul dengan orang, tindakan kita. Semuanya jadi semula jadi. Terserlah. Contoh tekanan lain selain darurat adalah waktu musim peperiksaan! Waktu tu lah, kalau nak lihat, siapa yang memang rajin memasak, rajin basuh baju, lemah lembut pertuturannya, baik perbuatannya, positif pemikirannya, dan sebagainya.



antara tekanan evakuasi : tidur dalam dewan.


tempoh yang paling tertekan : proses penyusunan evakuasi untuk penerbangan kedua, tiga dan empat. minta maaf kepada semua atas ketidak cekapan pengurusan.. :(



Berbalik kepada kisah Karim tadi, bagaimana cara dia bermuamalah. Mungkin, sifat dia di masa tenang bukan darurat, baik saja. Boleh saja senyum. Elok saja PR nya. Tapi, bila dalam darurat, dalam tekanan, semuanya kalut. Terkeluar segala sifat sebenar. Dah tiada terima kasih. Dah tiada senyum. Dah tiada sangka baik, nak marah saja. Dah tiada fikirkan tentang orang lain.

Semuanya "AKU" saja! Aku nak ini. Aku nak itu. Aku saja yang betul. Aku saja yang nak jalan dulu. Aku saja yang nak cepat. Aku saja yang penat. Aku saja yang berbaris menunggu. AKu saja yang sakit. Aku saja yang ada famili dan orang tersayang. Aku, aku, AKU!

(insyaAllah kisah-kisah berkaitan 'selfish' akan diceritakan dalam entry lain...)



Betul lah firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 2,

"(Dialah Allah) yang menciptakan mati dan hidup ini, untuk menguji kamu, siapakah diantara kaum yang terbaik amalannya"



Kerana di kala tekanan melanda inilah, terus saja kita lupakan, Hadith Nabi Muhammad SAW,

"Tidak beriman setiap dari kamu, melainkan dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri".



Terus saja kita lupa bahawa Nabi SAW berpesan,

"Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain".



Patutlah digambarkan betapa dahsyatnya Hari Kiamat, sampai ibu yang mengendongkan anaknya pun, boleh melepaskan anaknya sebab nak menyelamatkan diri sendiri. Sebab di kala 'darurat Mesir' yang saaangatlah kecil ni pun, kita dah meninggalkan semua orang dan membawa diri kita sendiri saja, inikan pula di kala tiupan sangkakala. Macam manalah keadaan kita nanti ya...

Allah ul-Musta'aan!!!


Sekian sahaja. Semoga kita semua mengambil pengajaran dan sentiasa tenang dan berfikiran waras dalam apa-apa keadaan sekali pun insyaAllah...


Oh ya! Saya akan bertolak pulang ke Mesir insyaAllah hari ini, 27 Februari, jam 2 pm waktu tempatan. Mohon doanya ya~


Wassalam.
Posted in Labels: , , | Comments

OP 001 : Mukaddimah

Sunday, February 20, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillah, wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah.


Pertamanya, setelah lebih kurang 27 hari blog ni tak ber'update', saya rafa'kan setinggi-tinggi syukur Alhamdulillah atas segala nikmat.


3 minggu ini sangat bermakna buat saya, mungkin juga sahabat-sahabat lain, juga buat warga Mesir. Terlalu banyak perkara dan kejadian yang hendak diceritakan, yang baiknya, yang buruknya, yang seronoknya, yang tak seronoknya. InsyaAllah saya cuba lah cerita sedikit sebanyak pengalaman sepanjang 3 minggu ni dari semasa ke semasa untuk pengajaran dan cambahan idea.


Kisah bermula dari Sambutan Hari Polis Mesir 25 Januari lalu, dibawa ke demonstrasi besar-besaran hari Jumaat 28 Januari, kemudian ke Jumaat seterusnya, bermulanya proses evakuasi Ops Piramid, ke Jumaat seterusnya, sampailah minggu ini. Saya di'tarik' ke Malaysia. Alhamdulillah!


Dari Sayedah Zainab(berdekatan Medan Tahrir) ke Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah(DMAK) duduk di sana hampir seminggu, terbang naik Charlie ke Jeddah, di Madinatul Hujjaj genap seminggu, terbang ke Changi Airport Singapura, naik bas ke UPM Serdang, kemudian naik Perodua Myvi balik rumah. Perjalanan dari rumah balik Malaysia demi menjayakan misi DS Najib Ops Piramid mengambil masa 2 minggu dan mengorbankan 5 kilogram berat badan! =)


Secara personal, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dalam usaha evakuasi Ops Piramid di peringkat DMAK. Kepada pegawai yang berkaitan, Ustaz Harun dan En. Hazam, hinggalah kepada AJK yang sangat komited sampai ada yang tak tidur malam pada hari pertama evakuasi. Jazakumullah Kheiral Jaza'. Semoga amalan diterima Allah...
(Itu pun, masih ada beberapa AJK yang kena maki dengan perkataan yang tak sedap didengar, ditulis, dan dikata sebab tak puas hati dengan pengurusan Ops Piramid ni... xpe lah nak buat macam mana kan...)


Begitu juga di peringkat Madinatul Hujjaj di Jeddah, jazakumullah kheir kepada semua yang membantu.







Suka saya berkongsi satu video liputan pendek yang berjaya menarik hati saya, dari Al-Jazeera, berkaitan kesan revolusi di Mesir kepada golongan elit. Memang dah agak dah. Golongan-golongan kaya di Mesir memang sayangkan Mubarak, dan sangat terkesan dengan jatuhnya Mubarak. Mana tidaknya, Mubarak menggalakkan jurang yang besar antara miskin dan kaya. Tu yang orang kaya tak senang duduk bila ada revolusi nak jatuhkan Mubarak.






Suka juga saya kongsi beberapa berita terbaru yang saya selalu kongsi dalam facebook. Harap anda semua, pelajar-pelajar Mesir selalu update berkenaan status keadaan semasa dari semasa ke semasa.


http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/2/20/nation/8103649&sec=nation


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0219&pub=utusan_malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm&arc=hive


http://www.facebook.com/note.php?note_id=152207331504076



Buat akhirnya, untuk "OP(Ops Piramid) Siri 001 : Mukaddimah" ini, saya nak pesan kepada semua sahabat, bersiap sedialah nak balik ke Mesir semula, cuma tunggu saja Green Light daripada MKN untuk balik semula(walaupun nak tunggu sampai bila pon tak tahu laa)...


Semoga kita semua dalam keadaan baik, dan diberikan Allah dengan perkara terbaik buat kita insyaAllah....


Wassalam
Posted in Labels: , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture