Aku Mengikutmu Bukan Kerana Ini!

Friday, January 11, 2013 by aiyqosim
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسولله وعلى اله و صحبه اءجمعين

Sebelum ini, saya ada menulis tentang kisah pembahagian harta ghanimah peperangan Hunain oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Kejadian menakjubkan, di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah memberikan harta yang banyak kepada puak Arab Badwi yang baru memeluk Islam dan lemah imannya, dan tidak memberikan apa-apa kepada golongan Ansar walaupun mereka setia bersama di sisi Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam.

Kali ini ingin saya kongsikan satu lagi kisah menakjubkan berlaku ketika pembahagian harta ghanimah peperangan Khaibar pula.

Jika yang berlaku dalam perang Hunain adalah harta yang banyak itu direbutkan puak-puak Arab Badwi dan kabilah yang baru memeluk Islam, lain pula yang berlaku di dalam Khaibar.

Peperangan Khaibar adalah peperangan menentang kaum Yahudi Khaibar. Peperangan ini merupakan salah satu peperangan yang agak sukar dan getir buat Ummat Islam kerana Khaibar dikelilingi kubu berlapis-lapis yang kental.

Dengan rahmat Allah, Ummat Islam diberi kemenangan dengan puak Yahudi menyerah kalah dalam perundingan yang memaksa mereka keluar dari Khaibar dengan pakaian yang mereka sedang pakai sahaja. Satu kekalahan yang menghinakan!

Apa yang menarik adalah, ketika Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam membahagikan ghanimah, satu bahagian diberikan kepada seorang Arab Badwi yang beriman. Tiba-tiba Badwi ini berkata,

"Apakah ini!"

Lalu diberitahukan kepadanya, "ini adalah bahagian untukmu yang diberikan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam".

Badwi itu berkata kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam,

"Aku mengikutmu bukan kerana mahukan harta ini, tetapi aku mahu supaya aku dipanah mengenai ini!" Sambil dia menunjukkan ke arah halkumnya.

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab, "Jika kamu benar terhadap Allah nescaya Allah menunaikan janji yang benar kepadamu".

Badwi itu tidak mengambil harta perang yang halal kepadanya itu dengan hati yang ikhlas. Lalu dia bangun untuk menjalankan tugas jihad, tiba-tiba anak panah musuh mengenai lehernya di halkum yang ditunjukkannya kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.

Lalu dia diusung ke hadapan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam keadaan mati syahid. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam berdoa kepada Allah,

"Ya Allah Tuhanku! Inilah hamba yang telah berhijrah kerana jalanmu, dia telah dibunuh syahid, aku menjadi saksi kepadanya".


Kisah ini saya petik dari kitab 'Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyah' karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hafizahullah.

Kisah ini juga dinukilkan di dalam kitab 'Sunan An-Nasai' yang pernah disyarahkan oleh Ustaz Hairul Nizam, beberapa tahun lalu di Markaz PERUBATAN Abu Risy.

MasyaAllah, jika aku berada di tempat si Badwi itu, adakah aku begitu kuat? Adakah kita begitu kuat? Apakah jaminan bahawa kita akan kuat bila berada dalam keadaan teruji begitu?

Beliau seorang Arab Badwi, yang baru memeluk Islam. Dan beliau meninggalkan yang halal, kerana bukan itu yang dicarinya tika memeluk Islam. Apa yang dicarinya adalah syahid semata-mata kerana Allah!

Dan ingatlah, jika kita benar-benar ikhlas dalam berniat, dan benar-benar ikhlas melaksanakan apa yang kita niatkan, nescaya Allah akan berikan apa yang kita niatkan.


Moga Allah masukkan kita di dalam golongan yang mati syahid di jalan Allah. Moga Allah merahmati perjuangan Islam di bumi Malaysia yang sedang 'bergolaj' ketika ini.

InsyaAllah...

والحمد لله رب العالمين





Posted in Labels: | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture