Falafil & Ahli Syurga

Sunday, January 8, 2012 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Pagi tadi saya berniat keluar awal sedikit ke hospital. Saja nak bersarapan di luar. Dah lama rasanya tak makan fuul.


Dalam perjalanan, ada seorang lelaki Mesir berjalan mengikut jalan yang sama. Tinggi sedikit dari saya, berpakaian kemas bagi seorang pelajar universiti, tapi tidak untuk pekerja pejabat. Orangnya muda, kemungkinan besar seorang pelajar universiti.


Di tangannya ada 3 bungkus falafil sejenis santapan pagi di Mesir. Tak pasti, apa isinya. To'miyyah ke, fuul ke, atau apa. Setiap bungkus ada plastiknya sendiri, bersama sebungkus tursyi (jeruk sayur).


"Takkan mamat ni larat nak makan sorang 3 bungkus?" fikir saya.


Perjalanan diteruskan...


Sampai di satu simpang berhampiran stesen bas Abu Risy, memang kebiasaannya akan ada makcik tua jual tisu. Itulah cara makcik tu menyara hidupnya, dengan menjual tisu dan mengharap sedekah dari orang yang lalu lalang di situ.


Sampai sahaja di situ, lelaki Mesir tadi terus hulur sebungkus falafil tadi, dan beri kepada makcik jual tisu tersebut. Sekadar senyum, dan teruskan berjalan.


Saya agak terkejut, tambah terharu.


Perjalanan diteruskan. Sampai di tangga terowong merentas metro(komuter) Sayeda Zainab, ada seorang lagi makcik yang tak menjual tisu, sekadar meminta sedekah. Duduk keseorangan di pagi Januari Kaherah yang sejuk. Lelaki muda tadi menghulurkan satu bungkusan yang berada di tangannya tadi kepada makcik tersebut.


Saya diam, dan terus berjalan. Waktu tu, saya sudah pun memintas lelaki tersebut. Selepas melepasi makcik tadi, lelaki tadi melalui jalan lain, dan kami berpisah.


Saya terfikir, lelaki tadi orang muda. Mungkin belum bekerja dan masih belajar. Tapi tindakannya sangat mulia. Amat dewasa. Kecil sahaja harganya, hanya memberi sarapan kepada 2 orang(mungkin 3 orang) peminta sedekah yang tak mampu membeli sarapan sendiri. Namun, mungkin tiap hari istiqomah diamalkannya.


Moga Allah memberi keberkatan atas perbuatan lelaki tadi, dan memberi hidayah kepada kita yang melihat tauladan itu.



Pelacur Yahudi


Dalam satu kelas pengajian Syeikh Yusri di masjid Al-Azhar bulan lepas, kami sampai kepada satu Hadith Rasulullah SAW yang mahsyur.


Hadith berkenaan seorang pelacur Yahudi dengan seekor anjing yang kehausan. Anjing yang kehausan di tepi telaga. Anjing tu teringin minum, tetapi tak mampu untuk mengambil air dari telaga tersebut.


Maka, pelacur Yahudi tersebut, mencedok air menggunakan kasutnya, dan memberi minum anjing tersebut. Akibat perbuatan kecil tersebut, perempuan itu dimasukkan Allah ke dalam syurga.


Subhanallah!


Syeikh Yusri menyatakan rasa beruntungnya beliau, dan betapa beruntungnya orang-orang Mesir kerana peluang untuk 'mencuci' dosa berada di mana-mana sahaja di bumi Mesir ini.


Keluar saja ke jalan, ratusan orang miskin kita akan jumpa. Dan sedekah serta akhlak yang baik dengan mereka ini adalah pensuci dosa.


Saya terpukul dengan nasihat Syeikh itu. Ya lah, dah tahun kelima berada di Mesir, masih tak bosan-bosan lagi mengutuk bangsa Arab Mesir. Tak jemu-jemu marah dan berhasad dengan perangai Arab Mesir. Tapi apa yang kita dapat?


Patutnya, dengan perangai dan budaya serta keadaan sosioekonomi Arab Mesir inilah kita dapat menjana pahala dan ketahanan jiwa dan fizikal. Tapi, yang terjadi adalah sebaliknya. Kita kuat merungut dan mencaci, akhirnya fizikal lembik, jiwa lemah, dosa pun dapat. Astaghfirullahh...



Betapa Untungnya...


2 minggu lepas pula, Syeikh Yusri bertanyakan satu soalan yang bernas.


"Orang macam manakah yang paling beruntung jika kita berdamping dengannya?"


Syeikh menjawab sendiri, "Merekalah ahli jannah. Ahli syurga".


"Tahu tak di mana nak cari ahli syurga?"


Hadirin semua senyap. Lalu Syeikh jawab sendiri,


"Pergi keluar ke syaware'(jalanan), kau akan jumpa ahli syurga semuanya!"


Sekali lagi Syeikh menekankan betapa beruntungnya jika kita hidup dalam negara Islam. Hidup bersama orang-orang Islam.


Bukankah orang Islam itu ahli syurga semuanya?


Maka bila kita keluar ke jalanan, di Mesir, hampir semuanya insyaAllah orang Islam. Maka setiap masa kita bertemu ahli syurga.


Tak cukup dengan itu, orang-orang di jalanan di Mesir, sentiasa berzikir. Sentiasa berselawat. Di kedai-kedai, kita akan dapat orang membaca Al-Quran. Hatta polis trafik pun membaca Al-Quran sambil berdiri di tepi jalan. Kita berjumpa dengan orang yang makan dengan mambaca bismillah. Kita berjumpa dengan orang yang naik bas, masuk bilik, berjumpa dan berpisah dengan memberi salam.


Keliling kita semuanya ahli syurga!


Kemudian Syeikh bergurau,


"Habis tu, semua ahli syurga, siapa pula ahli neraka? Mudah je, kau tengok di cermin, dan tanya orang dalam cermin tu, kau ahli syurga ke ahli neraka?"


Ya, tanya diri sendiri, kita ni bersifat dengan ahli syurga ke, ahli neraka(Na'udzubillah...)?


Begitulah, Ulama' mengajar kita supaya memandang manusia lain dengan pandangan ahli syurga. Husnuzzonn. Positif. Mendoakan. Sentiasa pandang dengan pandangan rahmah. Seperti yang Rasulullah SAW tunjukkan.



Maka, beruntunglah siapa yang berada di Mesir. Inilah peluang untuk kita meningkatkan iman. Inilah medan latihan. Jiwa dan fizikal. Inilah medan mengaut ilmu. Inilah tempatnya. Maka, beruntunglah...


Juga beruntunglah siapa yang hidup di keliling orang Islam. Di dalam komuniti Islam.


Tapi, bagaimana pula yang hidup di dalam komuniti bukan Islam? Lagi besarlah cabarannya untuk menjaga Islam dalam diri, dan membawa imej Islam kepada komuniti keliling kita. Besar cabarannya, besar lagi balasannya di syurga insyaAllah...


Moga kita tergolong dalam kalangan ahli syurga, ameen...


Wassalamu'alaykum warahmatullah...


p/s : minggu depan exam. mohon doanya ya... :)
Posted in Labels: , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture