Sabar Bang, Sabar...

Sunday, January 23, 2011 by aiyqosim
Bismillah,

Alhamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah SAW.


Baru-baru ini, lepas selesai baca Quran dekat Ma'ahad Iqra' cawangan Sayeda Zainab, Syeikh Ahmad berpesan kepada saya,

"Kamu dah ok dah baca Quran riwayat Hafs. Lepas ni, kena ambil riwayat Warsy pula..."

Saya pun jawab,

"masyi, masyi, insyaAllah..." Maksudnya, dalam hati kata, "hmmmm tengok laaa..."


Bukan apa, saya mula membaca di Ma'ahad Iqra' sejak musim panas tahun 2009 lagi. Bulan Julai tahun 2009. Sampai sekarang, maknanya dah SETAHUN SETENGAH saya baca Quran dengan syeikh, tapi sekarang baru sampai surah An-Naml, muka surat 377! Nak katanya, baru lebih sikit daripada separuh al-Quran saya baca, dalam masa setahun setengah! Tu baru baca, bukan tasmi' hafalan. Itu pun, syeikh dah pesan awal-awal, bila habis nanti, kena ambil riwayat Warsy pula. Bila pula tu nak habis?? =)


Kebetulan, Jumaat lalu, kami(saya, moji, dan salman) ada berborak dengan Ustaz Mahmud. Ustaz berkongsi satu hadith, yang simple tapi padat dan popular. Yang berbunyi,


قال الرسول -صلى الله عليه وسلم

"أحب الأعمال إلى الله: أدومها وإن قل" أخرجه البخاري في صحيحه


Rasulullah SAW bersabda, "Amal yang paling disukai Allah ; amalan yang berterusan meskipun sedikit"

-Riwayat Al-Bukhari-



Jika dibandingkan solat sepanjang malam sebanyak 10 rakaat, tapi hanya buat sekali setahun sahaja, dengan solat 2 rakaat sebelum subuh tetapi diamalkan setiap hari, maka solat 2 rakaat itu yang lebih baik. Kerana ianya merupakan amalan yang konsisten, biarpun sedikit.


Terkadang, kita begitu bersemangat untuk beribadat, mungkin kerana baru lepas dengar ceramah, atau baru lepas kelas BPI, tapi semangat itu hanya umpama 'hangat-hangat tahi ayam', beberapa saat sahaja, kemudiannya ia menjadi sejuk dan keras, susah nak basuh. =)


Begitu juga dalam belajar. Terkadang, kita sangat bersemangat untuk 'bolot' semuanya tanpa memikirkan kemampuan kita untuk mengkoordinasi ilmu tersebut dan menyusunnya dalam sistem pemikiran kita. Kita belajar kerana ikut orang. Kita belajar kerana dipaksa. Maka, segala jenis kelas kita pergi. Segala jenis buku kita 'belasah'.


Semuanya kita nak cepat. Kalau pergi kuliah, nak suruh pensyarah cakap dan habiskan silibus cepat-cepat. kalau pergi talaqqi, tak puas hati kalau syeikh yang jenis syarah panjang-panjang benda yang kecil. Lambat katanya! kalau mengaji Quran, nak cepat habis saja.


Gejala yang berlaku ini, kemungkinan besar berlaku disebabkan kurang kefahaman dalam beribadat. Kurang kefahaman dalam konsep ibadat dan menuntut ilmu. Kita mementingkan bilangan rakaat. Kita mementingkan jumlah amal ibadat yang dilakukan. Kita mementingkan kelajuan beribadat, kelajuan baca Quran, kelajuan belajar atau baca kitab. Semuanya nak banyak, semuanya nak cepat siap!


Padahal, intipati daripada ibadat adalah kualiti. Nabi SAW berpesan dalam hadith di atas, bahawa yang lagi perlu diambil berat dalam ibadat adalah, istiqomahnya kita dalam amal ibadat tersebut. Bukannya bilangan atau banyak mana kita beribadat. Bak kata pepatah,



قليل دائم خير من كثير منقطع

Benda sedikit yang selalu(berterusan) lebih baik daripada benda yang banyak tapi terputus(tak berterusan)



Kata kuncinya, istiqomah! Konsisten dan kualiti. Macam atlitlah. Kalau pelari pecut yang berkaliber, dapat dilihat daripada konsistennya dia mengekalkan catatan masa yang singkat dan konsisten. Bukannya dapat pecut habis-habisan sekali, tapi 'habis gas' bila buat larian kedua.


Maka, sebagai penuntut ilmu dan ahli ibadah, kita kena beringat dan berpesan kepada diri sendiri. Biarlah amal perbuatan kita dalam ibadat dan menuntut limu kita itu sedikit, tapi biarlah berterusan dan istiqomah. Janganlah terlalu 'excited' sangat untuk beberapa hari sahaja, lepas tu pancit sebab dah 'habis gas'.


Tapi, apa-apa hal pun, takkan lah kita nak dapat ilmu sikit-sikit saja kan? Mesti nakkan lebih dari orang lain. kalau macam tu, pasanglah azam, dan rancanglah strategi untuk tambahkan ilmu dan kemahiran anda, tetapi jangan buat perubahan dalam diri anda secara mendadak. Buatlah secara berkala mengikut kemampuan anda. InsyaAllah Allah akan menolong kita semua jika betul niatnya untuk Allah...


Ada satu pepatah Arab yang Syeikh Redho di Fustat ajar saya waktu tahun 1 dulu. (boleh tengok gambar Syeikh Redho dalam entry INI). Saya ingat sampai sekarang, memang terkesan betul. Berbunyi,



في السرعة الندامة , و في التءنّى السلامة

Dalam kalut(terkocoh-kocoh) ada penyesalan, dalam tenang(tak terkocoh-kocoh) ada keselamatan



Semoga kita tidak tergolong dari kalangan orang yang tak sabar dalam beribadat dan menuntut ilmu.



Sekian sahaja,



Wassalam.


belajar, belajar.... saja 'test power' dengan anak Abang Izzat Pojak mansurah, Abdullah namanya.... ni waktu program Night Of Purity di Tanta hari Sabtu malam tempoh hari... (xde kerja)
Posted in Labels: , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture