Badan Gajah, Hati Tikus!

Sunday, November 28, 2010 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillaahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW.

Sebagai pembuka kata, DS Anwar Ibrahim pernah berkata, kalau tak sanggup berkorban, jangan bicara soal perjuangan!




Baik anda seorang pejuang penegak keadilan, mahupun pejuang bangsa, mahupun pejuang ekonomi, mahupun pejuang pendidikan, atau yang lebih penting pejuang Islam, ada 3 musuh utama yang sering menghalang usaha perjuangan, iaitu ;


Malas

Penakut

Kedekut


Saja-saja duduk di rumah satu petang, saya terbelek satu buku berjudul Mukmin Profesional, karangan Pahrol Mohamad Juoi. Terbaca satu kisah yang menarik...



Kisah Tikus Dan Ahli Sihir


Seekor tikus telah bersahabat dengan seorang ahli sihir. Pada suatu hari, tikus mengadu yang ia sentiasa diburu oleh seekor kucing yang ada dalam rumah itu. Lalu ia memohon kepada ahli sihir untuk menukar dirinya menjadi seekor kucing yang besar.

Permintaannya ditunaikan. Tikus sekarang telah bertukar menjadi kucing besar dan ia memburu kucing dalam rumah tersebut.

Tikus yang bertukar menjadi kucing itu kemudian keluar dari rumah. Di luar rumah, ia diburu pula oleh seekor anjing. Ia lari ketakutan dan terus menemui ahli sihir minta ditukarkan menjadi seekor anjing yang lebih besar. Ahli sihir pun menunaikan permintaannya.

Tikus yang bertukar menjadi anjing besar itu pun mengejar anjing tersebut. Tetapi tidak lama, anjing besar itu dibaling dengan batu oleh seorang budak di kawasan itu. Tikus yang bertukar menjadi anjing itupun lari lintang pukang ketakutan.

"Tolong tukarkan saya menjadi budak yang lebih besar," pintanya kepada ahli sihir.

Tetapi kali ini ahli sihir menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata, "Tidak ada gunanya aku menukar bentuk kamu kepada yang lain..."

"Sebab apa?" Tikus bertanya.

"Sebab walaupun rupa paras kamu boleh diubah, tetapi hati kamu tetap hati tikus!"




Banyak pengajaran yang boleh diekstrak dari kisah ini. Tapi saya nak tegaskan satu ciri yang tidak sepatutnya ada pada diri seorang Muslim. Tak patut ada pada diri seorang mahasiswa, atau seorang ketua keluarga, atau seorang pekerja, atau seorang ketua masyarakat, atau seorang PEJUANG! Iaitu...


PENAKUT!!!



Ramai yang berbadan sasa, tetapi hatinya kecil.

Ramai yang mahukan badan yang sasa, pergi ke gym, tetapi terlupa nak men'sasa'kan hatinya.

Ramai yang mahukan kemenangan, tetapi tak berani ke depan.

Ramai yang mahukan kejayaan, tetapi masih malu menonjolkan kehebatan.

Ramai yang nak mengubah dunia, tapi segan nak bercakap di depan.

...........................................................


Dan semua itu, berpunca dari hati.


............................................................


Sebesar manapun tubuh seseorang, jika kecil hatinya, maka kecil jugalah 'penangannya'.

Sepanjang manapun kaki seseorang, jika kecil hatinya, maka kecil jugalah langkahnya.

Setinggi manapun jawatan seseorang, jika kecil hatinya, maka pendek jugalah akal dan cita-citanya.

Mintalah ditukar kepada kucing yang lebih besar, anjing besar, malah manusia sekalipun, hati sekecil tikus akan tetap menghasilkan perbuatan sekecil seekor tikus.


Maka tak hairanlah Nabi SAW bersabda dalm sebuah Hadith :


ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله ، وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب

Ketahuilah dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging. Jika baik daging tiu, baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah, daging itu ialah hati.

Riwayat Bukhari






Maka, kesimpulannya, jika hendak mengubah sikap, ubahlah hati dahulu. Biarlah tubuh kita kecil dan keding sekalipun, yang penting hati kita besar.

Sifat penakut bukanlah sifat Muslim Mukmin sejati, maka buanglah ia jauh-jauh.

Takut apa?

Takut bangun bertanya soalan dalam kelas,

Takut ke hadapan mempertahankan pendapat,

Takut dengan 'tohmahan' orang bila mencuba benda baru,

Takut di'bahan' bila menonjol dalam persatuan,

Takut disisih bila menegakkan kebenaran,

Takut masa 'terbuang' apabila berpenatan mengaji dan menuntut ilmu,

Takut dengan Arab Mesir sampaikan ditipu dan dipermainkan,


Takut, takut, takut!


Kalaulah Nabi Muhammad SAW takut untuk berdiri di khalayak ramai di atas bukit Sofa, menyampaikan benda baru, menegakkan kebenaran, menegur kesesatan Arab Jahiliyyah, mengorbankan reputasi Baginda sebagai orang yang dipandang tinggi ketika itu, tidak akan sampai Islam kepada kita sepertimana yang kita nikmati hari ini.


Sekian sahaja, semoga tulisan ini bermanfaat, ampun maaf di atas salah silap.


Minta didoakan kesihatan ibu dan ayah saya, serta keluarga saya. Doakan juga keselamatan diri anda sendiri dan kejayaan Ummat Islam insyaAllah...


JazakumuLlah Kheir


Wassalam
Posted in Labels: , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture