Bismillahirrahmaanirrahim,
Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah, wa 'ala aalih
Cuba buka surat khabar hari ini. Baca tajuk tajuk utama hari ini. Ya, pastinya anda boleh membacanya dalam masa sesaat atau kurang!
Cuba buka surat khabar bahasa Mandarin. Baca tajuk utama hari ini. Baca satu perkataan sahaja, cukup.
Bagi yang tak boleh mambaca bahasa Mandarin, pasti terpinga-pinga, bukan?
Cuba bayangkan, suatu hari kita membuka surat khabar, atau membaca 'newsfeed' di facebook, tetapi kita tak faham sepatah perkataan pun. Apa perasaan kita waktu itu? Begitulah agaknya perasaan orang yang buta huruf. Sama perasaannya bila saya melihat tulisan bahasa Mandarin.
Cuba bayangkan, kalau lah guru tadika kita tiada untuk mengajar kita membaca A B C, masakan kita mampu membaca artikel saya hari ini?
Eh, tunggu sebentar! Guru tadika?
Betul kah guru tadika kita yang mengajar kita membaca?
Soalan cepumas untuk anda. Ingat lagikah anda, siapa yang mengajar anda membaca sampai anda mampu membaca artikel ini hari ini?
Siapa namanya? Bagaimana rupanya? Bilakah waktunya kita mula pandai membaca?
Masihkah kau ingat?
Begitu besar jasa guru-guru kita yang mengajar kita tanpa penat lelah, akhirnya kita jadi pandai-sepandainya, tapi guru itu tidak dikenali, jauh sekali namanya dipahat di dinding-dinding bangunan dan memorial.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, atau ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada orang lain, atau anak soleh yang mendoakannya". Hadith riwayat Muslim.
Seorang 'alim yang saya lupa namanya berkata, bahawa seorang guru beroleh KETIGA-TIGA fadhilat yang disebutkan dalam Hadith Baginda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam itu.
Bayangkan, pelaburan apa yang lagi berbaloi daripada itu!
Tak cukup dengan itu, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda;
إنّما بُعِثْتُ مُعَلِّمًا
"Sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang pengajar"
Mendidik masyarakat adalah tugas Nabi kita Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Betapa mulianya seorang guru, pengajar, pendidik atau apa sahaja yang anda gelarkan. MasyaAllah...
Namun, amat malang bagi masyarakat di zaman yang kita diami hari ini, nilai permata diukur menggunakan penimbang berat. Maka, batu-bata mendapat nilai lebih tinggi kerana beratnya, dan batu permata mendapat nilai tercorot kerana keringanan jisimnya.
Malang seribu kali malang!
Jujurlah kepada diri sendiri, bila ditanya soalan "Apakah kayu ukur utama kau memilih kerjaya?", kalau bukan kerana nilai gajinya?
Pernahkah kau terdengar orang kebanyakan bertanya,
"Apa? Jadi cikgu tadika saja?? Isy isy, rugi laah..."
Sungguh pelik manusia!
Cikgu tadika itulah asbab dia kenal satu dua tiga.
Tanpanya, dia takkan kenal kalkulus dan algebra.
Kini dia menjadi perunding harta, dengan harta berjuta.
Tanpa cikgu tadika, bolehkah dia punyai apa yang sekarang dia ada?
Untuk guruku, juga ibuku selaku guru pertamaku,
"Biar penat berdiri
Jangan penat memberi
Biar kerja sampai terduduk
Jangan berhenti membentuk
Biar terus berletih
Hingga syurga kau raih"
Selamat Hari Guru!
Moga Allah membalas jasamu guru...
Meninggal
3 years ago