Benda Bulat-bulat (1)

Saturday, December 8, 2012 by aiyqosim
Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


*Istilah-istilah yang perlukan pencerahan di dalam artikel ini, antaranya, PERUBATAN (Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir), dan HalQi (Haluan Kiri PERUBATAN)


Logo PERUBATAN, juga dikenali sebagai 'benda bulat-bulat' oleh sesetengah pihak


Menjelang musim pilihanraya bagi memilih ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN bagi PERUBATAN Pusat dan juga 7 Cawangannya, mula lah timbul suara-suara yang memang kedengaran tiap tahun, malah bukan tiap tahun sekali, tapi berkali-kali.

Ada yang mengatakan,

"PERUBATAN ni, semangat sangat, sampai pilihanraya bagai! Rilek-rilek sudah..."

"Bebudak Mesir ni, kelakar lah aku tengok. Semangat sangat berpersatuan. Ko kuat-kuat berpersatuan pun, apa sangat lah function dia, buat bergaduh je."

"Dah nama budak medik, apasal ko semangat sangat berpersatuan bagai. Study tu dah cukup habis dah ke?"

"Fuh, siap ada manifesto, fan page bagai. Berguling aku tergelak!"

Ada pula yang menggelarkan diri mereka sebagai HalQi, iaitu Haluan Kiri PERUBATAN, iaitu satu 'pertubuhan' tak rasmi yang pada saya agak memandang sinis pada PERUBATAN dalam sesetengah aspek.

(Walaupun saya benar-benar tahu dan sedar, yang mereka ini bukanlah serius dalam menentang PERUBATAN. Mereka tidak pun menentang PERUBATAN sebenarnya. Mereka cuma menisbahkan diri mereka sendiri dengan gelaran HalQi, untuk bergurau. Dan mereka-mereka ini pernah memegang banyak jawatan dalam PERUBATAN, dan jenis orang yang bila diminta tolong, mereka dengan ringan tulangnya menolong. Saya tetap respect mereka.)

Sebagai orang yang pernah memegang jawatan dalam Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN (Pusat) selama 3 sesi, iaitu selaku Exco Ekonomi, Exco Akademik, dan Timbalan Presiden 1, saya amat terguris dengan kata-kata sedemikian. Lagi-lagi semasa saya masih memegang jawatan tersebut dahulu, memang marah. Dan saya tidak pernah lagi seingat saya, saya 'meletup' di medim-medium awam menyatakan kesakitan hati saya, walaupun semasa saya masih memegang jawatan.

Dan kini, saya sudah meninggalkan era AJKT, dan saya sudah tidak terangsang dengan kata-kata seperti itu lagi. Dulu, saya terangsang dan marah, tapi tidak ber reaksi di media secara umum, tapi sekarang saya sudah tidak terangsang dengan kata-kata sedemikian, dan tidak juga ber reaksi.


Seterusnya, ada juga yang sering mengatakan kalam-kalam seperti ini,

"Dulu, bebudak medik ni harmoni je. Adik abang semua bertegur sapa, semua kenal, macam satu famili. Tapi sekarang..."

"PERUBATAN dah macam nak memerintah dah. Asik buat program je. Asik berpolitik je. Mesyuarat lah, pilihanraya lah, program-program dengan ucapan pung-pang pung-pang."

"Zaman kami dulu, program sikit-sikit je, tapi best! Semua involve."

"Bebudak zaman sekarang ni, dah tak pandai nak hormat orang tua. Jumpa buat tak tahu, macam tak kenal. Tu lah persatuan. Program je pandai!"

"Apa lah semangat sangat bebudak junior ni. PROF lah, GRAND lah, MedTeam lah, NICE lah. Buat aku tergelak je!"


Dan sudah tentu anda menjangkakan kalam ini dari senior lama-lama. Ya, betul, tapi tak semestinya.


Sepanjang saya berkelana dalam PERUBATAN, terlalu banyak kata-kata sinis yang dihamburkan kepada saya dan 'aktivis-aktivis' PERUBATAN yang lain.

Ada kalanya, saya mengiyakan kalam-kalam ini, dan ada kalanya saya menggeleng kepala. Dan ada kalanya, saya pun turut tergelak sekali bila timbul kalam-kalam ini.

Kemudian, saya duduk dan berfikir sejenak. Saya tahu kebanyakan mereka, terutamanya dari kalangan 'orang-orang lama', mereka hanya bergurau senda dengan sahabat-sahabat seangkatan mereka. Sebab, terkadang, bila 'orang-orang lama' ni kita minta tolong dari mereka, mereka terus memberi bantuan sebaiknya.

Namun, ada juga pada pendapat saya yang serius dan konsisten menghamburkan kata-kata sinis, nista dan 'serangan-serangan' kepada PERUBATAN. Itu tak dapat dinafikan.


Maka, saya terfikir, bagaimana nak menyelesaikan masalah ini? Bagaimana nak mengatasi gejala ini? Atau, adakah gejala ini benar-benar suatu masalah? Kalau ianya bukan satu masalah, maka tak perlu dibincangkan. Kalau benar-benar ianya satu masalah, mana pula jalan keluarnya?


Serang Balik


Saya telah mencuba untuk mencari jalan keluar dari masalah ini. Ya, saya mengakui, dan merasakan bahawa ini adalah satu masalah! Maka saya cuba mencari jalan keluarnya, dengan menghujam kembali mereka yang membuat 'serangan-serangan' tadi. Bila kita diserang, kita serang balik!


Saya tengok orang yang main games, saya katakan (dalam hati kecil),

"Tengok budak-budak yang asik duk main game saja. Tiap hari, tiap masa kerja main DOTA. Tiap masa kerja main PES. Ape ke bodohnya kerja main PES? Apa yang korang dapat main PES tiap hari?

Bangun tidur main PES. Dah la bangun tidur time Zohor. Bangun, cari makanan, cari PES. Habis, sambung makan, pastu sambut PES. Sampai malam, orang start tidur, dia main PES. Orang bangun Subuh, dia baru mula tidur.

Apa entah yang ko dapat main game tu. Dapat duit ke? Dapat ilmu ke? Badan jadi tough ke main game? 

Dah la tak pegi kelas. Kalau pergi pun, malas-malas, pastu balik rumah, terus main PES, atau tidur, atau makan. Tak ke serupa macam hayawan?

Dah tu, yang main tu, bukan budak-budak kecik! Semua bebudak tua bangka. Dan tua-tua pun main PES 24 jam. Hujung minggu main PES. Hari kuliah pun main PES. Dah la budak medik. Nanti ko dah kerja, ko nak bawak PS atau komputer ko pergi hospital, sebab nak main PES?

Dah kerja, dan kahwin nanti, ko nak layan PES jugak ke? Dah ada anak nanti, nak bagi dia makan PES? Tak pun bagi makan DOTA? Atau bagi makan game-game ko yang lain? Bayangkan, ko dah tua bangka umur 20-an, 30-an, 40-an nanti, kerja main game je. Buat malu je, macam budak sekolah rendah!

Lepas tu, mengata orang macam-macam..."


Saya tengok orang yang kerjanya duduk di rumah, sama ada tengok movies, atau layan internet saja tak buat apa-apa, saya katakan (dalam hati kecil),

"Kerja ko, 24 jam terkikik-kikik dalam bilik. Bilik bersepah, rumah bersepah, tak kisah. Asik seronok tengok movie.

Tak reti buat benda lain yang lagi berfaedah ke? Lepas tu, orang minta tolong sikit, bagi alasan, malas, tak nak tolong, tersengih buat muka kerang busuk, then sambung gelak tengok movie!

Lepas tu, bukak facebook, komen macam-macam, mengata orang tu, mengata orang ni. Lepas tu twitter pulak, mengumpat sana, mengumpat sini. Ko dah sama macam hayawan la kalau macam tu.

Nanti nak exam nanti, baru lah menggelabah, kunci pintu bilik, buat tak tahu sekeliling. Isu dalam rumah pun tak tahu. Dapur tunggang langgang buat tak layan. Paip pecah tak kisah, sewa rumah semua tolak kat ahli rumah lain suruh bayar, masak sorang-sorang makan, pastu turn masak tak ikut.

Nanti ko nak hidup dalam masyarakat nanti, sorang-sorang ke? Nak hidup dengan movies ko? Nak hidup dengan member-member 'maya' ko yang beribu-ribu tu? Nanti kerja ko tiap hari layan movies dan layan video klip lagi 24 jam kat hospital nanti ye..."


Saya tengok orang yang kerjanya tidur saja 24 jam, saya katakan (dalam hati kecil),

"Ko ni tak payah hidup lagi baik lah... Ada nyawa, tidur. Dah bangun tidur, cari makan, pastu sambung tidur balik.

Takda cita-cita ke? Apa yang berlaku sekeliling buat tak tahu je... Dah macam hayawan dah aku tengok ko ni!"


Saya tengok orang yang kerjanya 24 jam study pula, saya katakan (dalam hati kecil),

"Tu la kerja ko. Tiap masa makan buku. Balik rumah, kunci pintu bilik, hadap buku. Keluar bilik, mandi, makan, solat kejap, pastu kunci pintu balik. Keluar kuliah, balik, terus masuk bilik kunci pintu hadap buku.

Ko dah macam robot dah aku tengok. Chill la weh! Minta tolong sikit, malas, buat muka selebet, tak sanggup nak tolong member. Minta tolong kerja persatuan sikit, bagi alasan macam-macam, tak study lagi lah hape lah. Macam ko sorang je nak study.

Pastu nanti, mumtaz sorang-sorang je! 

Pastu, kerja ko pergi tusyen je tiap hari. Pastu mengata bebudak yang aktif berpersatuan ni. Ko ingat tusyen tu bagus sangat ke? Kalau semua orang macam ko, tak tahu apa-apa benda selain dari buku kuliah, habis siapa nak uruskan persatuan?

Nanti ko dah kerja nanti, ko bercakap lah dengan buku ye. Ko cakap dengan buku, makan dengan buku, pakai spek tebal-tebal, result gempak, tapi bercakap dengan orang pun tak reti.

Orang bagi kerja sikit, tak reti buat. Orang suruh lead tugas-tugas tertentu, mengelak. Baru lah ko terkontang-kanting nanti. 

Meluat juga aku tengok orang macam ni. Self-centered! Nak result gempak sorang-sorang. Tak kisah orang lain langsung. Tak nampak masyarakat langsung. Macam hayawan dah aku tengok..."


Saya tengok orang yang kerjanya shopping ke sana ke mari, makan minum di kedai-kedai mahal-mahal pastu post dalam facebook show off, melancong sana sini setiap kali cuti, saya katakan (dalam hati kecil),

"Apa ke takde kerja lain ke nak buat kat dunia ni selain menghabiskan duit? Kerja ko, asik berseronok je!

Duit tu, bagi lah orang lain sikit, sumbangkan. Atau gunakan lah duit dan masa lapang tu untuk sumbang pada komuniti. Kerja ko tiap hari memang nak puaskan nafsu diri sendiri saja ke?

Dah pergi melancong sana sini, apa ko dapat? Kalau sekata dapat say hello kat mat salleh, jalan-jalan 'usha' bangunan-bangunan yang ko pun tak tahu kenapa ko tengok bangunan tu, baik tak payah!

Kalau sekadar sebab nak cakap kat orang yang ko dah pusing serata dunia, baik tak payah. Baik duduk rumah saja, simpan duit kahwin.

Lepas tu, tiap kali musim cuti, kerja berjalan. Bila nak beraktiviti dengan persatuan dan komuniti? Bila nak luangkan masa tingkatkan ilmu dan kemahiran kendiri?

Dah tu, show off pula tu! Haih...."


Saya tengok orang yang kerjanya pergi gym secara konsisten dan terlalu mementingkan keterampilan luaran dan kesihatan tubuh badan, saya katakan (dalam hati kecil),

"Ko dah takde kerja lain ke nak buat, masa habis pergi gym je. Pagi petang siang malam. Kerja nak pam otot je.

Orang ajak pergi program, atau tolong buat kerja sikit, cakap takda masa, sebab jadual gym packed sangat. Apa, muscle ko tu kekal sampai umur 70 ke?

Lepas tu, kalau bab futsal, laju je. Sampai tengah malam pun takpe. Tiap hari pun takpe. Alasan, kata nak release tension. Tension amende? Pergi kelas pun liat. Study pun malas! Tension amendenye? Tension fikir nak kahwin ke?

Sekali tengok, ko ni dah macam hayawan dah. Gorila, kalau yang jantan nak cari pasangan nak mengawan, dia akan 'meroyan' dan buat gaya ganas supaya nampak tough, hebat, kuat dan mengancam. Kalau kerja ko tiap hari berseronok bersukan, berfutsal, pergi gym pam otot je, dah tu apa beza ko dengan gorilla?"


Ha, apa macam? Puas? Seronok kan buat serangan balas? Saya merasakan satu kepuasan bila dapat menjana idea-idea bernas untuk menyerang balas manusia-manusia lain yang tidak aktif berpersatuan.

Pernah saya terasa nak hamburkan kalam-kalam di atas ini di khalayak umum, atau di media awam. Perasaan geram bila tidak dapat menghamburkan kata-kata di atas, hanya disimpan dalam hati.

Alhamdulillah, setakat ni, tidak satu pun dari 'serangan' di atas yang saya telah lontarkan. Semuanya hanya di dalam hati. Kalau ada pun, secara 'indirectly', atau terkeluar sikit-sikit.


Boleh Saja...


Berbalik pada lontaran 'serangan' di musim pilihanraya yang saya katakan di awal artikel ini, boleh saja sebenarnya. Boleh saja saya nak membalas serangan-serangan tersebut.


"Ko bising orang kuat/semangat sangat berpersatuan tu buat apa? Rileks sudah. Dah tu, yang sambut ko kat airport tu siapa? Yang atur program-program supaya ko kenal-kenal member lain tu siapa? Yang carikan rumah ko time first year masih lap hingus lagi tu siapa?"


"Apa lah buat pilihanraya, siap ada manifesto, fan page bagai. Kelakar aku tengok. Ada budak yang semangat pilihanraya tu patahkan kaki ko? Ada dia paksa ko bagi duit kat dia? Tak da kan? Kalau takda, duk senyap-senyap ja. Ko takda semangat macam tu, jangan pandang sinis orang yang ada semangat. Atau dengan kata lain, jangan 'jeleous' dengan mereka."


"Bebudak medik pun nak semangat persatuan. Rilek-rilek sudah la. Study pun entah ke mana. Habis ko tu, study dahsyat sangat ke? Punya lah aku tengok bebudak persatuan yang study lebih kekadang. Yang mengelak kerja berpersatuan, kerja diorang main PES dan tidur 24 jam, yang tu ko tak komen?"


"Dulu, zaman kami dulu, program sempoi-sempoi je. Tapi semua kenal rapat semua orang. Junior dan senior macam famili. Bebudak sekarang ni, asik program, meeting saja. Pastu semua buat hal masing-masing, tak kisah senior dah lagi. Tak macam dulu dah...

Habis tu, salah siapa kalau orang dulu tak sediakan pelapis elok-elok? Zaman ko suasana best macam tu, bukan sebab korang. Tu sebab abang-abang sebelum korang. Jangan perasan pulak korang best. Zaman sekarang jadi macam ni, lojiknya sebab korang lah tak bina suasana macam tu lah! Salah siapa yang tak bina pelapis?

Nak minta dihormati macam mana, kalau muka pun tak pernah nampak? Dah tu, isu yang diborak dan dibincangkan dari dulu sampai sekarang, asik pasal akhowat Mesir yang takda common sense je. Pastu, asik kutuk Arab yang mengarut, serabut, tak bersistem, pengotor, dan macam-macam lagi. Tu je ke topik perbincangannya?

Lepas tu, kena ingat lah, dulu, berapa kerat sangat budak medik kat Mesir ni? Dalam satu kawasan, berapa cebis sangat budak medik? Nak banding sekarang? Budak Cairo saja, ada lebih 500 orang. Budak Ain Shams, lebih 400 orang. Budak Azhar, lebih 700 orang. Budak Alex, beribu. Budak Mansurah, beribu. Budak Tanta, lebih 600 orang. Buda Zagazig, lebih 500 orang. Kalau nak harap pemikiran dan usaha orang macam ko, nak samakan macam dulu, memang mandul lah komuniti medik di Mesir ni!"


Boleh saja saya menyenarai-panjangkan hujah-hujah dan serangan-serangan balas, dan juga tohmahan-tohmahan baru. Boleh saja!

Tapi, saya ingin bertanyakan satu persoalan. Apa yang kita dapat jika terus bermain permainan seperti ini? Kita terus bermain permainan 'Serang dan Serang Balas'. Kita bermain 'The Blaming Game'.

Antara orang lama dengan orang baru. Antara orang kuat persatuan dengan orang yang tak-berapa-nak-kuat. Antara orang kuat persatuan dengan orang anti-persatuan. Antara orang kuat persatuan dengan orang yang tak-kisah-pasal-sekeliling.

Apa hasilnya? Apa natijahnya? Apa yang kita dapat?

Yang pasti, senarai serangan dan hujah begitu panjang, dan boleh terus disenaraikan sampai hari kiamat mungkin. Takkan habis. Maka, teruslah bermain The Blaming Game, dan anda tidak akan berhenti kerana game itu tidak pernah selesai.


Kepincangan Sebenar


Pada pendapat saya, kepincangan sebenar di dalam situasi yang berlaku ini adalah, kita berbicara dengan bahasa yang berlainan.

Ya, bahasa yang berlainan!

Bagaimana saya boleh menghukum seorang yang hidupnya 24 jam di hadapan komputer bermain games atau menonton movies, sedangkan saya tidak melihat sepertimana dia melihat? Saya tidak nampak apa yang dia nampak. Saya tidak mengenali isi hatinya. Saya tidak tahu, apa yang ada dalam fikirannya. Saya tidak menyantuni apa yang dia cari dalam hidup. Saya tidak mengkaji bagaimana dia memandang kehidupannya.

Saya sepatutnya bertanya kembali kepada diri saya, mengapa saya tidak suka bermain games? (Hakikatnya, saya memang tidak suka bermain games. Semuanya bermula sejak zaman sekolah menengah, bilamana skill main games saya hilang secara tiba-tiba, menyebabkan saya fed-up setiap kali kalah main games. hahaha) Mengapa pula 'mereka' suka bermain games? Mengapa saya suka berpersatuan, dan mengapa mereka tidak?

Bagaimana saya boleh menghukum orang-orang 'lama', sedangkan kami tidak pernah berkomunikasi antara satu sama lain? Saya melihat persatuan itu sebagai satu perkara, dan mereka melihat persatuan itu sebagai satu perkara lain. Saya nampak beberapa situasi dan masalah, dan mereka nampak situasi dan masalah yang lain. Saya bercakap dan melakukan tindakan mengikut konteks yang saya faham, dan mereka mengikut konteks yang mereka faham.


Bukankah para ulama ada berpesan, bahawa orang terdahulu itu mendapat fadhilat ta'sis (mengasaskan) dan orang terkemudian mendapat fadhilat takmeel (menyempurnakan)?


Bagaimana saya boleh menghukum seorang yang hidupnya di atas katil 24 jam, sedangkan saya tidak mengetahui mengapa dia berbuat demikian? Saya tidak kenal siapakah dia, dan siapakah keluarga dia, dan apakah masalah dia?

Bagaimana kita boleh berserangan, berdebat dan berhujah sedangkan kita bercakap dalam bahasa yang berlainan?

Di mana kah akhlaq dan adab kita dalam bermu'amalah sesama manusia? Lupakah kita kepada Allah subhanahu wa ta'ala yang Maha Mengetahui dan tidak pernah lupa amal kebajikan dan amal buruk kita?


Dan berbalik pada topik artikel ini, pada saya, perkara yang lebih malang lagi, apabila yang sering dihujam, iaitu mereka yang aktif berpersatuan, tidak tahu mengapa dia aktif berpersatuan. Lebih khusus lagi, para aktivis PERUBATAN, jika anda tidak tahu mengapa anda aktif di dalam PERUBATAN, maka kepincangan besar telah melanda diri anda!


******************************


Tahun keenam berada di Mesir bumi barakah, saya rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman dan pandangan, tentang mengapa saya aktif berpersatuan, atau dengan kata lainnya, mengapa saya aktif berPERUBATAN.

Mungkin ia akan menjadi satu penerangan kepada pihak-pihak yang tidak aktif berPERUBATAN, dan mungkin ia akan menjadi panduan kepada semua aktivis PERUBATAN supaya segala tindakan anda bermakna, insyaALlah.

InsyaAllah akan saya kongsikan di dalam post seterusnya, "Benda Bulat-bulat (2)". Mohon doa kelapangan waktu dan kesihatan tubuh badan.


Apa-apa pun, layari laman wen Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) di SINI! Banyak yang menarik berkaitan pilihanraya PERUBATAN sesi kali ini, bilamana kita bakal mempunyai wakil Exco PERUBATAN Pusat dari setiap Cawangan. Landskap politik PERUBATAN bakal berbeza, insyaALlah...

Logo JPP

Posted in Labels: , , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture