Si Bahlul Mengajar Khalifah

Wednesday, July 6, 2011 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...



Suatu hari di kota Baghdad, di zaman Khalifah Harun Al-Rasyid RA, diriwayatkan bahawa telah hidup seorang Nasrani...


Si Nasrani mempunyai sebidang tanah miliknya sejak sekian lama. Di sebelah tanah itu, terbentang tanah milik si Perdana Menteri di masa itu. Agak luas tanahnya.


Suatu masa, si Perdana Menteri berhasrat ingin membina sebuah istana untuk didiaminya. namun, tanah yang dimilikinya pada waktu itu tidak cukup luas untuk sebuah istana yang tersergam indah mengikut pelannya. Lalu dipujuknya si Nasrani pemilik tanah sebelahnya untuk menjual tanah miliknya.


Si Nasrani menolak. Si Perdana Menteri lalu menggunakan kuasa yang ada padanya merampas tanah milik si Nasrani itu dengan surat pembelian palsu. Maka bersedihlah si Nasrani itu dengan nasibnya yang dizalimi.


Si Nasrani lalu berjumpa dengan semua menteri dan pembesar yang mampu dijumpainya, namun seorang pun tidak mampu dan cukup berani untuk membela nasib si Nasrani itu dek kerana takutnya kepada Perdana Menteri yang zalim itu.


Si Nasrani akhirnya mengadu kepada sahabatnya si tukang jahit. Si tukang jahit memberikan satu cadangan, katanya,


"Aku boleh bawakan seorang yang boleh menyelesaikan masalah kau".


"Sedangkan para menteri dan pembesar pun tak mampu, siapa pula yang kau nak bawakan untuk membela nasibku ini?" kata si Nasrani.


Jawab si tukang jahit, "Kau tunggu saja, dan datang lagi esok".



Keesokan harinya, datanglah si Nasrani ke kedai tukang jahit. Bila sampai, si Nasrani berasa hairan kerana si tukang jahit ada bersama dengan seorang lelaki. Buhlul namanya. (orang melayu panggil Bahlul)


"Ha, bagaimana? Di mana gerangan yang boleh membela nasibku seperti yang kau janjikan semalam?" tanya si Nasrani.


"Ni ha! Si Buhlul ni lah yang aku katakan semalam".


Betapa terkejutnya si Nasrani itu. Manakan tidaknya, buhlul memang terkenal dengan sifatnya yang 'gila-gila'. Dia dikenali sebagai seorang yang mereng dan 'tak berapa betul'. Bila berjalan, bercakap seorangan.


Si Buhlul juga merupakan sepupu Khalifah Harun Al-Rasyid.


Dalam hati si Nasrani berkata, "Bolehkah si Buhlul ni tolong mendapatkan kembali hak aku?"


Namun, kerana tiada pilihan lain, si Nasrani akur dengan cadangan kawannya si tukang jahit.


"Jadi, bagaimana kau hendak mengembalikan hak aku? Bagaimana harus aku dapatkan tanah aku kembali?" tanya si Nasrani.


Jawab si Buhlul dengan gaya 'sewel'nya, "mmmm..." sambil mengurut dagunya, "... Ahha! Hari Jumaat ini, selepas Asar, jumpa aku di Masjid Baghdad".


.........................................................


Di waktu Solat Jumaat minggu itu, di Masjid Baghdad, khatib pada hari itu adalah Khalifah sendiri, Harun Al-Rasyid. Seusai khutbah Jumaat disampaikan, si Buhlul menjerit dalam keramaian jemaah masjid,


"Harun Al-Rasyid! Begi aku jadi imam solat hari ni!"


Khalifah terpinga-pinga dengan gelagat 'separuh akal' sepupunya si Buhlul itu. Dipujuk-pujuknya, akhirnya Khalifah memberi peluang kepada Buhlul menjadi imam.


Maka diimamkanlah solat Jumaat itu. Setelah takbiratul ihram, Bhulul pun membaca Al-Fatihah.


"الحمد لله رب المسلمين" bacanya.


Makmum membetulkan bacaannya. Kemudian dibacanya lagi,


"الحمد لله رب المسلمين"



Kemudian dibetulkan makmum, dan diulangnya lagi beberapa kali.


Seusai solat, si Khalifah bertanya, "Kau beriya-iya nak menjadi imam, tapi Surah Al-Fatihah pun masih tak hafal!"


Lalu dijawabnya, "Oh salah kah aku baca tadi? Bukankah Allah itu Tuhan untuk orang Islam?"


"... Ya, betul lah Allah itu Tuhan orang Islam. Allah juga Tuhan sekalian alam". balas Khalifah Harun Al-Rasyid.


"Tapi, aku hairan, mengapa Allah hanya memelihara nasib orang Islam sahaja di Bahgdad ni?" jawabnya selamba.


Khalifah hairan dengan perkataan si Buhlul itu.


"Ya lah, tanah seorang Nasrani telah dirampas oleh Perdana Menteri tetapi tiada siapa yang membela nasibnya".



Khalifah Harun Al-Rasyid tidak senang dengan kenyataan tersebut, lalu merenung si Perdana Menteri yang turut solat sekali di masjid itu. Ditanyanya kepada Perdana Menteri yang zalim itu perihal kebenaran tuduhan tersebut. Maka terkantoilah Perdana Menteri tersebut, dan dijatuhkan hukuman.


Dilucutkan jawatannya, dirampas segala hartanya. Begitulah nasib si Perdana Menteri yang zalim itu. Setimpal dengan kezalimannya.


Si Nasrani yang memerhatikan kejadian tersebut akhirnya diberikan semula haknya. Tahulah dia, bahawa si Buhlul itu luarnya saja nampak 'mereng', tapi geliga juga otaknya.


Di waktu itu juga, si Nasrani itu memeluk Islam! MasyaAllah...


Mereka pun hidup aman damai, happily ever after... :)



Satu saja pengajaran penting dari kisah ini. Islam adalah satu agama, satu sistem hidup yang membawa rahmat ke seluruh alam. Bukan sahaja untuk penganutnya, malah untuk semua manusia tidak kira agama dan bangsa. Malahan, Islam merupakan rahmat kepada semua makhluk selain manusia, seluruh alam semesta.


Tapi dengan satu syarat, sistem Islam itu harus tertegak dalam diri setiap Muslim, dan harus tertegak dalam setiap negara. Orang Islam sendiri harus yakin, bahawa dengan berjalannya sistem Islam dalam segenap aspek kehidupan manusia, segalanya akan stabil dan maju. Kesannya akan dirasai oleh orang Islam dan juga bukan Islam.


Malang menimpa sesetengah masyarakat hari ini, orang Islam sendiri ada yang meragui kesempurnaan Islam. Mereka memperkecilkan sistem pemerintahan dan pentadbiran Islam. Mereka memperkecilkan sistem ekonomi Islam, dan segala sistem Islam yang lain. Padahal bukan Islam itu yang salah, tetapi pemahaman mereka terhadap Islam itu yang salah.


Inilah tugas ulama', para pendakwah, para cerdik pandai Muslim, dan tugas setiap individu Muslim. Untuk membetulkan kefahaman Islam dalam diri setiap manusia dalam masyarkat. Sehingga ajaran Islam yang sebenar itu betul-betul difahami sepertimana para sahabat Rasulullah SAW memahami Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW...


Tetapi, bagaimana kita hendak memahami Islam dengan sebenar-benar kefahaman, jikalau ulama' pun kita tolak? ;)


Akhir kalam,



وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ


"Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat untuk sekalian alam"


Surah Al-Anbiya', 107



Sekian sahaja, moga bermanfaat. Allahu A'lam.


p/s : satu paper lagi exam, Ophthalmology. Robbuna yusahhil...
Posted in Labels: , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture