Isy, Aku Busy Lah~

Sunday, August 7, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW,



Waktu musim peperiksaan tempoh hari, dalam bulan Julai, alasan seperti "tiada masa", "study", dan "busy" sering digunakan untuk berhibernasi. Untuk tidak bergerak dan beraktiviti. Atas alasan ini jugalah saya tidak mengemas kini blog ini. Betul atau tidak, bergantung.


Anehnya, selepas tamatnya peperiksaan, blog ini tetap tidak terkemas kini. Di mana silapnya? Adakah istilah "exam" masih lagi valid untuk dijadikan alasan, sedangkan selepas "exam" pun, keadaannya sama saja? Apakah faktor sebenarnya?


Seperkara aneh lagi, dalam pada dikatakan "busy study" itulah, ada dalam kalangan kita yang mampu menghabiskan satu siri drama Melayu. Waaah, di mana "busy"nya? Atau menonton drama Melayu itu termasuk dalam check-list silibus peperiksaan kita? Yang peliknya, bila tamatnya musim peperiksaan, tiada pula drama berkoyan-koyan dihabiskannya.


Terkadang, gejala ini membuat saya berfikir. Dan teringat satu Hadith Rasulullah SAW;


نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ


Dua nikmat yang sering dilalaikan kebanyakan manusia; waktu sihat dan masa lapang


Hadith riwayat Bukhori



Ya, waktu sihat dan masa lapang!


Persoalannya, bagaimana kita nak tahu sama ada kita tergolong dalam golongan yang melalaikan dua nikmat ini, atau kita tergolong dalam kalangan orang yang berjaya?


Jawabnya mudah saja! Kita akan tahu kita tergolong dalam golongan mana, apabila kita kehilangan dua nikmat tersebut. Dalam setahun, 364 hari kita sihat wal 'afiat, tetapi tiba-tiba satu hari kita jatuh sakit. Di waktu sehari itulah kita akan merasakan bahawa,


"Oohh, ya Allah, tak bestnya kalau sakit. Alangkah selesanya bila aku sihat dulu..."


Bila kita kehilangan nikmat kesihatan, barulah kita sedar bahawa dalam 364 hari setahun yang lalu, kita sentiasa sihat, tetapi kita tidak sedar. Kita tidak rasa. Kita tidak perasan. Maka, itu menunjukkan kita telah melalaikan nikmat tersebut, sehingga Allah tarik sebentar nikmat tersebut, baharulah kita sedar yang kita terlupa untuk bersyukur dalam 364 hari kita diberikan kesihatan.


Begitu juga dengan masa lapang. Biasa tak perkara di bawah ini berlaku kepada anda?


Dua atau tiga hari sebelum peperiksaan, baru lah kita sedar bahawa kita masih ada 10 bab lagi untuk dihabiskan dan dihafal! Di waktu itulah, timbul dalam kepala anda bermacam-macam bisikan,


"Isy, tu lah, dulu awal tahun dulu, tak study. Haa, sekarang, habis laa.."


"Aduhh, tahun n memang tak ready laa. Takpa lah, buat biasa-biasa je la exam ni.."


"Haih, menyesal aku tak study dari awal tahun dulu. Takpa, tahun depan, aku azam nak study dari awal!"


Ironinya, penyesalan kita hanya sesaat dua. Kita tetap mengulangi perkara yang sama saban tahun. Maka renungkan, adakah kita tergolong dalam golongan yang melalaikan masa lapang, atau golongan yang memanfaatkannya?


Bila masa lapang itu hilang, barulah terhegeh-hegeh nak mencari dan mengejar masa. Masa itu ibarat raja. Sombong dan bongkak. Dulu kita abaikannya, sekarang kita terhegeh-hegeh mengejarnya, ia takkan 'terhegeh-hegeh' bagi muka kepada kita! maka tergolonglah kita dalam kalangan mereka yang melalaikan masa lapang.


Nabi Muhammad SAW berpesan lagi;


اغتنم خمسا قبل خمس: شبابك قبل هرمك، وصحتك قبل سقمك، وغناك قبل

فقرك، وفراغك قبل شغلك، وحياتك قبل موتك


Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara; waktu mudamu sebelum tuamu, waktu sihatmu sebelum sakitmu, waktu kayamu sebelum miskinmu, waktu lapangmu sebelum sempitmu, dan waktu hidupmu sebelum matimu



Seperkara yang ingin saya tekankan tentang masa lapang. Sesungguhnya definisi masa lapang itu terletak pada diri kita sendiri. Seperti contoh yang saya berikan tadi, seringkali di musim peperiksaan itulah kita 'berjaya' menghabiskan satu siri lengkap drama.


Kebanyakan kita, tidak semena-mena, tanpa berfikir panjang, terus berkata, "Aku busy lah!"


Bila ditanya, "ada masa tak untuk membaca Al-Quran?"


"Aku busy exam lah!"


Bila ditanya, "ada masa tak nak masak?"


"Aku busy exam lah!"


Bila ditanya, "ada masa tak menziarah kawan-kawan yang memerlukan. Atau at least tanya khabar?"


"Aku busy exam lah!"


Bila ditanya, "ada masa tak nak tolong aku siapkan kerja?"


"Aku busy exam lah!"



Bila ditanya, "ada masa tak kemas rumah?"


"Aku busy exam lah!"



Kemudian, selepas solat Asar, duduk seorang dalam bilik, tonton movie! Jawabnya, "release tension~"


Ok, fine~



Sudah menjadi harapan Rasulullah SAW untuk melihat Ummat Baginda yang dikasihi ini, sentiasa menyibukkan diri mereka dengan perkara-perkara penting dan berfaedah. Dan juga tidak membuang masa begitu sahaja.


Seperti di dalam sebuah Hadith baginda SAW, yang mafhumnya mengatakan, hatta kalau dunia sudah Kiamat, dan dalam tanganmu ada benih tamar sekalipun, maka lemparkanlah ia, tanamlah ia, usahakanlah ia, bekerjalah!


Tidak wujud di dalam dunia Islam, istilah, "membazir masa" dalam perkara kebaikan walau sekecil manapun ia.



Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang beruntung dan berjaya, di dunia, dan di Akhirat, insyaALlah...


Lagi-lagi pula, kita sekarang dalam musim cuti musim panas, maka satu cabaran buat kita semua untuk mengisi waktu cuti ini dengan aktiviti seperti apa. Semoga berjaya!


Sekian, wassalam~


p/s : Jom baca artikel tulisan saya dalam Perubatan Online... KLIK SINI! :)
Posted in Labels: , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture