Sekitar Pilihanraya AJKT PERUBATAN Pusat 2011/2012

Sunday, December 19, 2010 by aiyqosim

Bismillahirrahmanirraheem

Assalamu'alaykum wbt.

Alhamdulillahi wassolatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW.

12 hari belakangan ini, masa tidak mengizinkan saya menulis dan mengisi blog ini. Syukurlah dapat sedikit masa di pagi hari ni, janganlah kita mempersiakan masa kosong kita, juga kesihatan kita, kerana Nabi SAW berpesan,


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ) رواه البخاري

"dua nikmat yang selalu dilupakan/diabaikan kebanyakan manusia ; kesihatan dan masa lapang"- Riwayat al-Bukhari



Sekitar Pilihanraya AJKT Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysian Mesir (PERUBATAN) bagi sesi 2011/2012 hujung minggu ini, saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit komentar. Iyalah, sebagai AJKT yang 'dikekal'kan untuk sesi ini, saya rasa berhak untuk memberikan pendapat saya memandangkan AJKT yang bakal naik kelak akan bekerja bersama-sama saya dan AJKT kekal yang lain insyaALlah.


Ciri-ciri Kepimpinan Sebenar

Persoalan pertama, nak memilih pemimpin, kita perlu tahu dan faham, apakah ciri-ciri pemimpin sebenar. Carilah tulisan-tulisan berkaitan kepimpinan, rujuklah buku-buku 'leadership', bacalah sejarah hidup pemimpin-pemimpin hebat, anda akan menemui banyak ciri kepimpinan sebenar. Tetapi saya ingin menyenarai-pendekkan ciri-ciri mengikut pendapat saya.

Cukup saya bawakan 3 orang manusia hebat sebagai contoh untuk diekstrak ciri-ciri kepimpinan mereka.


1. Kisah Nabi Syuaib A.S

Dinukilkan di dalam Surah al-Qasas ayat ke 26 yang bermaksud,

"Salah seorang daripada keduanya berkata : wahai ayah! Ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja adalah yang paling kuat, lagi amanah."

Allah merakamkan peristiwa kekaguman anak-anak Nabi Syuaib AS iaitu Syafura dan Liya terhadap Nabi Musa AS dalam satu peristiwa di padang pasir Madyan. Mereka berdua terpegun dengan Musa, pemuda gagah dan berakhlak yang telah menolong mengangkat penutup sumber air untuk kambing-kambing peliharaan mereka, namun tetap menjaga akhlak dan maruah beliau. Atas pertolongan itu, akhirnya Nabi Musa AS ditawarkan kerja oleh Nabi Syuaib AS setelah si anak itu menceritakan kekuatan dan akhlak Nabi Musa AS.

al-qawiyyu dan al-amin, itulah 2 ciri yang ada pada Nabi Musa AS.


2. Kisah Iskandar Zulkarnain

Dinukilkan di dalam Surah al-Kahfi, ayat ke 83-98.

Iskandar Zulkarnain bukanlah seorang nabi mahupun rasul Allah. Tetapi kehebatannya dinukilkan di dalam al-Quran, menunjukkan ciri-ciri yang ada pada peribadi beliau adalah sangat hebat dan mulia.

Beliau merupakan seorang yang beriman, dan berketerampilan. Buktinya, bila beliau sampai di suatu kawasan di antara dua gunung, yang mana penduduknya sangat asing bagi Iskandar Zulkarnain(dari segi bahasa perbicaraan), penduduk di situ meminta tolong daripada Iskandar Zulkarnain supaya membuat dinding penghadang daripada satu kaum perosak, Yakjuj dan Makjuj.

Iskandar Zulkarnain menolong mereka dengan memberikan idea bernas dan mengatur langkah untuk diikuti oleh penduduk di situ, iaitu disuruh mendapatkan besi, dipanaskan, dan dituangkan tembaga ke atasnya(pengaloian). Beliau tidak melakukan semua kerja itu sendiri, tetapi beliau mengagihkan tugas sebagai menghargai kebolehan atau kemampuan yang ada pada penduduk tempat itu. Kemudian beliau berkata, perlindungan itu adalah daripada Rahmat Allah!

Luaran yang berketerampilan sehingga orang memberi kepercayaan kepadanya, idea yang bernas hasil daripada ilmu yang tinggi, bijak mengatur strategi dengan mengagihkan tugas kepada penduduk hasil daripada pengalaman, mempercayai kemampuan penduduk kawasan itu dengan memberikan mereka peluang bekerja hasil daripada husnuzzon, dan bertawakkal kepada ALlah hasil daripada iman yang kuat dan sifat tawaduk, itulah ciri-ciri beliau.


3. Nabi Muhammad SAW.

Rasul terakhir, diutuskan untuk sekalian alam, untuk umat baginda, iaitu kita semua. Terlalu banyak kisah menceritakan kepimpinan baginda SAW. Rujuklah buku-buku sirah Nabi Muhammad SAW. Namun, suka saya nukilkan beberapa testimoni daripada orang bukan Islam sendiri, tentang kepimpinan Nabi Muhammad SAW.

Michael H. Hart telah meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai orang paling berpengaruh Nombor 1 dalam sejarah dunia, dalam bukunya bertajuk, "100 : A Ranking Of The Most Influential Persons In History" diterbitkan dalam tahun awal 80-an.

"If a man like Muhammed were to assume the dictatorship of modern world, he would succeed in solving its problems that would bring it the much needed peace and happiness" - George Bernard Shaw

"Muhammed was the soul of kindness, and his influence was felt and never forgotten by those around him" - Diwan Chand Sharma, The Prophets Of The East, Calcutta 1935

"Muhammed is the most successful of all Prophets and religious personalities" - Encyclopaedia Britannica

"By a fortune absolutely unique in history, Muhammed is a threefold founder of a nation, of an empire, and of a religion" - Rev. R. Bosworth-Smith in "Mohammed and Mohammedanism 1946"

Banyak lagi testimoni lain, tetapi 5 ini sudah cukup membuktikan bahawa kepimpinan baginda SAW diakui semua orang.


Sistem Pencalonan, Satu Cabaran

Berbalik kepada pilihanraya PERUBATAN, tahun ini menyaksikan sistem pencalonan pertama kali diperkenalkan. Calon yang bertanding adalah atas dasar suka rela dengan pencadang dan penyokong masing-masing. Tiada lagi istilah 'paksa rela' di dalam AJKT PERUBATAN, (kecuali AJKT kekal??).

Maka, hasil daripada sistem ini, muncullah tempoh berkempen, dan penyokong calon masing-masing begitu hangat mempromosi calon masing-masing. Tak lupa juga kepada calon sendiri, ada juga calon yang begitu bersemangat menonjolkan diri mereka di musim-musim begini. =)

Sistem ini sangat baik dan bernas, kerana ia dapat mengetengahkan 'figure-figure' yang memang sanggup bekerja dan memimpin di peringkat AJKT Persatuan. Tiada lagi paksaan. Memang kemahuan diri sendiri. Calon yang bertanding pertamanya telah membuktikan bahawa mereka tidak segan dan mempunyai 'self-esteem' yang tinggi hanya dengan 'kesanggupan' mereka mengisi borang calon. Tahniah diucapkan!

Namun, cabaran besarnya adalah, apabila menang dan dinaikkan menjadi AJKT kelak, tanggungjawabnya jauh lebih besar berbanding AJKT yang 'ditolak' naik. Lagi pula, dalam tempoh berkempen, saya melihat, ada calon yang begitu hangat mengempen diri mereka sendiri mengalahkan calon ADUN kawasan! Ianya sesuatu yang sangat positif dari segi keyakinan dan keterampilan, namun jika berlebih-lebihan, dikhuatiri menjadi seperti kata pepatah, "cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar!"

Tidak salah menonjolkan diri, tetapi, hendaklah kita semua lihat dan faham, apa yang bakal dihadapi di hadapan kelak bila menjadi pemimpin, baharulah boleh menonjolkan diri. Maknanya, anda menonjolkan diri anda dalam keadaan anda faham dan tahu apa yang bakal anda hadapi. Di sinilah PENGALAMAN memainkan peranan. Dalam konteks PERUBATAN, pengalaman bererti umur dan pengalaman bekerja. Ada yang suka menonjolkan diri dan mengharap orang ramai memilihnya, tetapi tidak mempunyai sedikit idea pun tentang apa yang dihadapinya kelak bila menjadi AJKT. Cabaran dari segi pengurusan masa, pengurusan tenaga, pengurusan kewangan, pengurusan komitmen, dan pengurusan kasih sayang. =)


Apa Yang Diperlukan PERUBATAN?

Saya sudah berada di dalam AJKT PERUBATAN Pusat sejak Oktober 2008 lagi. Mengikut perspektif saya, banyak lagi ruang-ruang pembaharuan di dalam PERUBATAN, yang memerlukan pemimpin yang berkaliber untuk memenuhinya. Berikut merupakan pemimpin yang dicari-cari PERUBATAN dari kaca mata saya yang hina ini.


1. Tidak hipokrit

'Pandang pertama' adalah faktor penting dalam ta'aruf dan kasih sayang. Mungkin, faktor inilah yang sering diambil kesempatan oleh ramai di kalangan manusia untuk mengaburi mata manusia lain. Hipokrit!

Di depan senyum, di belakang cebik muka. Di depan kata-kata manis, 'kalam helwah', di belakang kutuk. Bercakap dengan 'orang-orang tertentu' lain, dengan orang 'biasa' lain. Layanan kepada 'orang-orang besar' lain, kalau orang 'bawah-bawah' tak layan sangat pon ok je. Pertama kali jumpa dan berborak, ok. Kali kedua dan seterusnya, menjadi hambar dan bosan. Perkara ini, sangat biasa kita jumpa. Dan yang bagusnya, kita sebagai manusia biasa pun, sangat mudah untuk mengenalpasti siapa yang hipokrit dan siapa yang tidak.

Pemimpin sebenar adalah pemimpin di mana-mana sahaja. Sepertimana ibadah seorang yang IHSAN. Biar di hadapan manusia, mahupun di belakang, ibadahnya tetap umpama dia sedang melihat Allah. Habis baik. Terbaik. Sempurna!


2. Ikhlas bekerja kerana Allah dan kemajuan Ummat

Kita semua tahu dan arif, bahawa setiap amalan itu dimulakan dengan niat, dan dinilai berdasarkan niatnya. Di antara bukti keilkhlasan bekerja adalah, rajin, bersungguh-sungguh dan sentiasa sanggup bekerja asalkan tidak mengganggu prioriti yang lebih utama. Kata kuncinya, KOMITMEN!

Rajin dan bersungguh-sungguh bukan sahaja ketika berkempen, tetapi sebelum tempoh berkempen dan lagi penting, selepas keputusan pilihanraya diuar-uarkan. Rajin dan bersungguh-sungguh setiap masa, kerana pemimpin sebenar faham, bahawa dia bekerja kerana Allah, kerana Islam, kerana membantu Ummat, bukannya kerana jawatan atau publisiti.


3. Idea bernas & kreatif

Saya jamin, tiada seorang pon yang membantah kreativiti sebagai salah satu ciri pemimpin yang PERUBATAN mahukan. 'Think out of the box', itulah kata kuncinya.

Bak kata seorang sahabat, Huzaifah Md Nor namanya, PERUBATAN perlu lebih dinamik. Ya, bukan PERUBATAN sahaja, malah setiap organisasi yang mendukung Islam wajib bergerak dan dinamik. Untuk itulah, PERUBATAN memerlukan pemimpin yang dinamik!

Seperkara lagi, harus diingat, ramai yang tertipu dengan kepetahan berkata. "Eh, dia ni pandai cakap. Mesti banyak idenya!". "Eh dia ni macam tak reti bercakap je...Macam mana nak memimpin ni?". Dirasakan bahawa apabila petah berkata-kata, ideanya bernas dan geliga.

Kepetahan berkata-kata memang diakui sebagai salah satu faktor untuk memimpin. Namun, ia bukanlah penentu kepemimpinan seseorang. Nabi Musa AS bukanlah seorang pemidato yang hebat, namun nama dan kisah perjuangan baginda dinukil bahkan diulang-ulang di dalam al-Quran! Maka janganlah menilai seseorang pemimpin itu HANYA berdasarkan kepetahannya memberi hujah, tetapi nilailah berdasarkan kualiti kerjanya.


4. Tahu adab dalam organisasi

Faktor ini, biarpun saya letakkannya di bawah, tetapi hakikatnya, ini adalah faktor terpenting khusus untuk pemimpin dalam sebuah organisasi. Khusus dalam PERUBATAN.

Adab dalam organisasi? Ya, adab dalam organisasi bukan sekadar adab-adab peribadi yang harus ada dalam setiap individu Muslim. Ianya adab khusus apabila kita bekerja dalam sebuah organisasi. Sangat banyak adabnya jika hendak disenaraikan, tetapi ada beberapa adab yang sering diabaikan penggerak-penggerak di dalam organisasi (termasuklah saya, kadang-kadang), iaitu sistem rujukan atau 'referral system'.

Setiap gerak kerja, terutamanya perkara baru yang hendak dibawa, adabnya, hendaklah dirujuk kepada pemimpin di atas. Dan juga dibawa berbincang bersama AJK yang lain. Agar tidak berlaku 'bypass' dan supaya idea baru itu berkembang biak menjadi lebih matang. Begitu juga dengan sebarang masalah yang berlaku.

Setiap masalah atau perkara di luar bidang kuasa kita, hendaklah dirujuk kepada AJK lain yang lebih mahir dalam perkara tersebut, bukannya semuanya kita nak 'sapu'. Kata kuncinya, jangan bertindak macam 'hero'. Begitu juga dengan orang bawahan, agihkan tugas dengan baik, supaya semua orang dapat merasa pengalaman bekerja di dalam persatuan.

Dan semua ini dapat berjalan dengan baiknya dengan satu perkara, PENGALAMAN. Pengalaman bekerja. Pengalaman bergerak. Bukan sekadar di sekolah, tetapi di dalam persekitaran semasa. Pengalaman di sekolah ada peranannya, tetapi signifikannya kurang berbanding pengalaman bergerak dalam alam mahasiswa. Dalam konteks PERUBATAN, suasana di Mesir. Pengalaman 'bekerja' di Mesir.

Referral system ini penting, juga kerana ia akan menghasilkan satu organisasi yang selaras, tersusun dan sistematik. Bukan sekedar pengalaman sahaja yang diperlukan, satu faktor lagi yang diperlukan sebagai adab dalam organisasi, ialah sifat tawadhuk dan rendah diri. Terkadang, ego sesetengah pemimpin dalam menyatakan pendapat dan menyalurkan ideanya menjadikan sesuatu organisasi itu kucar-kacir. Semua nak ikut cakapnya. Yang atas disiku, yang bawah dipijak. Yang atas dilawannya dan yang bawah dibulinya. Memang diakui, sesetengah orang mempunyai idea yang terkehadapan, tetapi adab menyalurkan idea itu perlu dituruti. Hormati juga pendapat sahabat-sahabat lain, kerana bukan kita seorang sahaja yang betul, kita tetap seorang manusia yang keluarnya dari lubang kemaluan, dan akan kembali semula ke tanah.


Calon Pilihan Saya

Secara peribadinya, saya mempunyai mempunyai beberapa calon pilihan. InsyaAllah semuanya akan dinyatakan relevan dan sebabnya. Tapi, buat yang tidak terpilih sebagai pilihan saya, jangan kecewa pula ya! (kenyataan paling bajet bulan ni. hehe) Anda tetap pemimpin di hati pencadang dan penyokong anda. =)


Calon Exco (LINK untuk senarai calon-calon EXCO)


1. Muhammad Nurhelmi Mohd Lukhman






Sebab pertama, saya nak tanya anda semua, siapa yang tak kenal lelaki di dalam gambar di atas, angkat tangan! Itulah sebab pertama saya. =)

Sebab kedua, siapa yang tak pernah dengar Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR? Maka, cuba bayangkan, gambar yang anda lihat di atas adalah Ketua Umum SDAR tahun 2005/2006.

Seterusnya, melihat kepada track record beliau dari bangku sekolah rendah sehingga ke alam universiti. Ya, ALAM UNIVERSITI! Saya nyatakan pencapaian beliau setakat mana yang saya tahu. Saya tak tanya sahabat-sahabat rapat beliau lagi. Ini baru yang saya tahu secara umum ya.

Sekolah Rendah

Bola Sepak MSSM Peringkat Kebangsaan, wakil Selangor

Sekolah Menengah

Bola Sepak
Ragbi Kebangsaan
Olahragawan SDAR
Pelari pecut SDAR
Ketua Umum

Mahasiswa

Bermotor Honda Wave
AJK Relawan setiap program kecil dan besar PERUBATAN
AJK Pengangkutan(driver) dalam hampir semua program PERUBATAN
AJK YAHOO! At Pangsun PERUBATAN
AJK Seminar PERUBATAN Kali Ke-3
AJK Raya Korban PERUBATAN 2010
Pengarah LIFE 2009
Pengarah Jaulah Matruh Siwa PERUBATAN 2010
Pengarah Mesyuarat Tahunan Kaherah Kali Pertama
Pengarah Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN


Sedikit testimoni dari saya :

"Nurhelmi aka Mentol, merupakan lelaki yang versatile dan rajin. Saya mula mengenali beliau di PSMB PERUBATAN 2007 di ARMA, satu kumpulan dengan beliau, dan beliau sangat peramah dan sentiasa tersenyum.

Ramai yang tidak tahu, terutamanya sahabat-sahabat di muhafazah, bahawa jaket PERUBATAN BiKON yang anda pakai itu dan Kalendar PERUBATAN di atas meja anda itu, siapa yang mengangkutnya dengan Avanza yang 2 kali pancit tayarnya dalam perjalanan mengharungi jalanraya Mesir di musim sejuk tahun lalu?

Siapa pula yang menguruskan urusan perpindahan rumah di Giza dan menguruskan pengurusan internet.

Program Seminar dan Roadshow PERUBATAN bulan Februari lalu. Para doktor dari Malaysia, Dr. Latiff, Dr. Amaluddin, Dr. Hatta dan isterinya pusing satu Mesir berceramah. Tahukah anda siapa yang membawa mereka pusing satu Mesir?

Program YAHOO! di Pangsun musim panas lepas, saya merupakan pengarahnya. Tapi tahukah anda siapa yang sentiasa mengiringi saya ke sana ke mari menguruskan program?

Baru-baru ni kita mendengar rumah Nur Qaseh dipecah masuk oleh tuan rumah sendiri. Tapi tahukah anda, siapa yang menguruskan urusan dengan tuan rumah dan mahkamah? Dialah Mentol.

Tapi, siapa yang pernah dengar nama beliau sebelum ini? Ya, namanya tidak kedengaran, tetapi kesan jasa baiknya dirasai seluruh ahli PERUBATAN seluruh Mesir!"


2. Mohamed Khaliq Bin Isa

Calon kedua pilihan saya adalah dari Universiti Ain Shams, tahun 4. Sahabat yang saya kenali sejakt tahun satu di ARMA. Kalau nak bercakap dengan beliau, memang saya segan. Iyalah, Ketua Umum SMKA Kuala Lumpur, lepasan Darul Quran pula tu. Tapi, sekali bercakap, insyaAllah boleh layan punya. Memang banyak terlibat dalam program PERUBATAN, termasuk menjadi Pengarah Ain Shams Family Day. Juga pernah menjadi AJKT ARMA sesi lepas. Ramai juga yang mengenali beliau di Cairo Universiti, tetapi di Ain Shams, tak perlu diperkenalkan lagi kehebatannya. InsyaAllah dapat membawa suara Ain Shams atas pengaruhnya di ARMA dan Abbasiyyah.




3. Muhammad Azizul Hakim Bin Azizul

Calon ketiga pilihan saya adalah dari Universiti Al-Azhar, tahun 3. Mungkin ramai yang tidak mengenali beliau, kerana beliau memang penyenyap orangnya. Cakap di depan pon segan-segan gamaknya. Tetapi sekali borak, pon boleh tahan ramahnya. Beliau sebelum ini sangat aktif di Rumah Johor, menjadi Multimedia Crew dan beberapa AJK lain. Itu yang tak pernah nampak, kecuali dalam beberapa program tahun ini. Beliau menjadi AJK dalam Program LIFE dan MTK PERUBATAN. Kalau ikut testimoni dari Yazid Hanzir, Al-Azhar tahun 3, "kerajinan beliau ni, sampai ketua unit program pon naik segan dengan komitmen beliau!". Kita memang memerlukan wakil dari Al-Azhar seperti beliau, ada sedikit sebanyak pengalaman dan membuktikan komitmen yang tinggi, insyaAllah.





4. Mohd Hilmi Bin Matnoh

Sahabat yang saya kenali sejak 2 tahun belakangan ini, dari Universiti Al-Azhar, tahun 3. Pergi sini, nampak muka beliau. Pergi sana, nampak lagi muka beliau. Dari dapur KLCC di Rumah Wilayah Persekutuan KL, sampailah Raya Korban PERUBATAN baru-baru ni. Namanya tidak selalu didengari, tetapi kesannya boleh dirasai. Rasanya, beliau boleh 'masuk' dengan ramai orang. Dengan suara yang agak otai serak-serak basah, ramai yang tak percaya beliau dulu sekolah di KISAS. =)




Ini adalah 4 calon pilihan saya. Ingat, saya masih ada 4 tempat lagi untuk diisi, sebab setiap ahli layak memilih 8 orang untuk calon EXCO kelak. Maka, 4 orang di atas adalah calon top 4 saya.


Satu testimoni khas buat sahabat seperjuangan saya, Khairul Farhan Bin Khairuddin, Tahun 4 Cairo University. Beliau memang berketerampilan, iya lah, budak 'RMC' lah katakan. Berani ke hadapan dan profesional. Bekerja di bawah Unit Dokumentasi(eh, kalau tak silap lah..) BPP PERUBATAN, dan banyak membantu sebagai AJK YAHOO! At Pangsun musim panas lalu. Tapi kan Paan, i really need you to manage Cairo Academic Team Website, cause i can't find anyone better than you. Seriously, i mean it! So, .... =)


Buat calon-calon lain, semuanya saya kenal, sahabat-sahabat saya, bahkan ada yang pernah dan masih bekerja di bawah saya atau bawah Biro Akademik. Ridzuan Mohd Nor, atau Chip panggilan manjanya, pernah bekerja bersama di dalam Seminar PERUBATAN Kali Ke-3 dan YAHOO! At Pangsun, dan telah menunjukkan kekemasan gerak kerja yang mengagumkan. Abd Rahim Samad pengarah LIQA PERUBATAN dan Ketua Batch Tahun 2 Cairo 2009/2009. Mohd Hilmi Mohd Hatta, bekerja bersama dalam barisan AJKT PERUBATAN sesi ini, Biro Akademik. Begitu juga Wan Ahmad Hafizi, Biro Kebajikan. Muhammad Deenie, tahun 2 Ain Shams, bekerja di bawah Biro Akademik Unit Tutorial dan merupakan wakil G2G Ain Shams, tapi baru tahun 2, masih muda. hehe. Ahmad Faiz Zaib merupakan junior saya di SMAP Labu, juga berbakat, tapi masih muda juga. hehe. Ahmad Naufal, merupakan AJK Biro Akademik di bawah Unit CAT Website, berbakat dan rajin, tapi, macam tu lah, masih muda lagi. hehe. Hamzah Marwan pula, saya kenal beliau di PSMB Ain Shams Azhar tahun 2009, tahun 2 Al-Azhar, tapi macam tu lah, masih muda. hehehe...


Buat akhirnya, seperti biasalah, saya sebagai manusia biasa, terdedah banyak kepada kesilapan dan dosa. Diharap tiada yang terasa dengan blog post saya kali ini. Ini adalah pandangan saya, dan setiap manusia mempunyai sisi pandangan masing-masing. Dan anda semua bebas membuat pilihan demi kemajuan Ummat.

InsyaAllah akan saya kongsikan juga, jika ada kelapangan, calon Presiden dan Timbalan Presiden 2 pilihan saya, tapi bukan hari ini lah...

Sekian, buatlah pilihan bijak demi masa depan PERUBATAN. Undilah 3 H, formula kehebatan dan kesatuan PERUBATAN akan datang.


Hilmi(Mentol)-Hilmi(Matnoh)-Hilmi(Hatta)!!!

Sila jenguk blog INI. Mereka cuba buat pakatan, dan saya menyokong padu 100% pakatan ini!!! =)


Allahu A'lam, jazakumullah kheir kerana sudi membaca...


Wassalam
Posted in Labels: , , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture